Di sebalik desakan demi desakan agar The Red Warriors (TRW) tidak menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu setakat ini tidak berganjak dengan pendirian tersebut.

Bendaharinya, Nik Aminaldin Nik Jaafar berkata, krisis kewangan yang membelenggu persatuannya meletakkan Kelantan dalam keadaan bersedia untuk melepaskan pemain mereka ke pasukan lain.

“Melepaskan pemain kepada pasukan lain adalah jalan penyelesaian terbaik bagi menyelamatkan karier profesional mereka. Itu sahaja pilihan yang ada demi kebaikan kedua-dua pihak.

“Tidak adil bagi pemain sekiranya kita terus menyimpan mereka sedangkan Kelantan tidak sertai Liga-M. Jadi lebih baik lepaskan sahaja pemain bagi membolehkan mereka menyarung jersi pasukan lain,” katanya kepada media.

Menurutnya lagi, pihaknya sedia berbincang dengan mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan pemain TRW walaupun menyedari kebanyakan persatuan bola sepak negeri sudah hampir melengkapkan senarai akhir pemain, ketika ini.

“Soal kontrak pemain, saya rasa boleh itu diselesaikan secara rundingan walaupun ada dalam kalangan pemain kita masih mempunyai baki kontrak yang panjang bersama pasukan ini,” katanya.

Badan induk bola sepak negeri itu baru-baru ini memutuskan mahu menarik diri daripada menyertai Liga-M akibat masalah kewangan namun hala tuju sebenar skuad pantai timur itu bakal diketahui pada mesyuarat agung luar biasa (EGM), 29 Disember ini.

Mesyuarat khas Exco Kafa, pada 15 Disember lalu, mendedahkan kantung kewangan persatuan itu hanya terkumpul RM800,000 daripada sumbangan penaja kecil dan mereka perlu bekerja keras mencari dana sebelum sepak mula Liga-M, akhir Januari depan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *