Anda di sini!
Utama > Sukan > KAFA Perlu Orang Berpengalaman

KAFA Perlu Orang Berpengalaman

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) perlu dipimpin oleh anggotanya yang memiliki kepakaran dan pengalaman luas dalam mengemudi persatuan itu serta membantu keluar daripada kemelut kewangan yang dihadapinya.

Naib Presidennya, Datuk Rosmadi Ismail percaya orang dalaman persatuan itu paling layak dan mampu memimpin badan induk bola sepak negeri itu bagi penggal 2017-2021.

Untuk rekod, Tan Sri Annuar Musa telah melepaskan jawatan presiden KAFA, pada November tahun lepas dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah, memangku jawatan tersebut.

KAFA telah menetapkan Kongres Agung Tahunan ke-63 pada 17 Sept ini untuk memilih barisan kepimpinan baharu persatuan berkenaan.

“Bukan saya hendak menidakkan keupayaan calon-calon lain, namun itulah hakikatnya untuk menguruskan KAFA bukan tugas mudah ia memerlukan komitmen dan pengorbanan yang tinggi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Rosmadi, yang tidak bercadang merebut jawatan presiden, berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat berapa individu termasuk ahli perniagaan dalam bidang kosmetik untuk bertanding jawatan presiden sempena kongres tersebut.

Dilaporkan antara individu bersedia menawarkan diri untuk merebut jawatan presiden termasuk usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan; pemilik syarikat Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman; Presiden Kumpulan SecretLeaf International Sdn Bhd, Amir Ramadzan, dan Naib Presiden KAFA, Datuk Nasir Hamzah.

Leave a Reply

Top