Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih belum menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pemain bagi pasukan masing-masing.

Dalam satu kenyataan, Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) berkata sehingga hari ini, para pemain yang membuat aduan masih belum menerima pembayaran penuh atau sekurang-kurangnya skala pembayaran yang menunjukkan komitmen pasukan untuk menjelaskan tunggakan bayaran kepada mereka.

Tunggakan gaji lima pemain Kelantan berjumlah RM477,000 dan ATM pula berjumlah RM3.7 juta yang melibatkan 15 pemain.

Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) memberikan tempoh 90 hari, yang tamat pada hari ini, untuk pasukan terbabit menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji berkenaan.

“Bagi kes tunggakan pasukan KAFA, PFAM berasa kecewa apabila KAFA gagal mematuhi jadual bayaran gaji yang telah dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua pihak.

“Kes tunggakan pasukan ATM pula, sehingga kini, PFAM masih tidak menerima sebarang makluman berkenaan proses pembayaran yang ingin dibuat,” kata PFAM.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih tidak membuat keputusan berhubung rayuan Felda FC berhubung pembayaran pampasan kepada pemain Azrul Ahmad berjumlah RM220,000.

PFAM turut mencadangkan, memandangkan tarikh perpindahan pemain akan dibuka pada Jun, hukuman seperti sekatan pengambilan dan perpindahan pemain dikenakan ke atas pasukan yang masih ingkar untuk membuat bayaran selain dikenakan potongan mata.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *