Jumlah dagangan Malaysia melepasi RM1 trilion bagi tempoh tujuh bulan pertama 2017, peningkatan 22.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2016, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dagangan melepasi RM1 trilion dua bulan lebih awal daripada trend biasa

Peningkatan dagangan disokong terutamanya oleh dagangan dengan ASEAN, China, Amerika Syarikat, Kesatuan eropah, Jepun, India dan Taiwan.

“Ekspot meningkat 22.3 peratus kepada RM529.68 bilion, manakala import menambah 23 peratus kepada RM478.71 bilion, menjadikan lebihan dagangan sebanyak RM50.97 bilion,” kata MITI menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagi bulan Julai, MITI berkata eksport mengekalkan momentum pertumbuhan yang kukuh, mencatatkan nilai sebanyak RM78.62 bilion, menambah 30.9 peratus berbanding tahun lepas.

Kementerian itu juga berkata eksport mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih kukuh berbanding import bagi bulan ketiga berturut-turut, dengan semua produk eksport utama mencatatkan peningkatan.

Barangan elektrik dan elektronik (E&E) mengetuai eksport dengan mencatat pertumbuhan dua angka bagi bulan ketujuh berturut-turut (+28.3 peratus) atau RM6.15 bilion, diikuti eksport barangan perlombongan, yang berkembang sebanyak 27.5 peratus kepada RM6.71 bilion serta barangan pertanian (+14.8 peratus) RM6.42 bilion.

MITI berkata eksport utama pada Julai 2017 melibatkan barangan E&E bernilai RM27.91 bilion, produk petroleum RM7.09 bilion, kimia dan produk kimia RM5.72 bilion, produk minyak kelapa sawit dan berasaskan kelapa sawit RM4.46 bilion, serta gas asli cecair RM3.79 bilion.

Bagi import pada Julai, angkanya meningkat sebanyak 21.8 peratus kepada RM70.59 bilion, dengan tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir ialah barangan perantaraan bernilai RM39.9 bilion, barangan modal berjumlah RM9.18 bilion dan barangan penggunaan berjumlah RM5.99 bilion.

“Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2017, import bernilai RM478.71 bilion atau peningkatan 23 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2016.

“Barang pengantara bernilai RM278.71 bilion, meningkat sebanyak 25.6 peratus, barangan modal (RM65.78 bilion, meningkat 15.7 peratus) dan barangan penggunaan (RM40.35 bilion, meningkat 5.1 peratus),” kata MITI

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *