Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengedarkan 50,000 naskah majalah mengenai kepentingan keselamatan jalan raya untuk Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) bulan depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata majalah yang dinamakan ‘Buletin Road Blog’ itu turut memuatkan trend permotoran semasa dan diberi secara percuma kepada anggota SM1JPJ di seluruh negara.

“Untuk terbitan pertama, kita akan keluarkan lebih 50,000 naskah dan buletin ini akan kita edarkan secara percuma, insya-Allah buletin ini akan dikeluarkan empat bulan sekali dan kita juga akan turut menyelitkan pencapaian anggota skuad muda dalam buletin tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Program Jom Santai SM1JPJ di sini.

Turut hadir, Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie Abdullah dan Ketua SM1JPJ Terengganu, Amron Mamat.

Ismail berkata sejak diperkenalkan pada 2013, skuad berkenaan mempunyai lebih 300,000 anggota di seluruh negara dan sebanyak 328 persatuan permotoran di seluruh negara telah mendaftar di bawah skuad berkenaan.

“Skuad muda ini mendapat sambutan yang menggalakkan di seluruh negara yang mana seramai 110,000 orang yang mendaftar merupakan orang perseorangan dan sebanyak enam buah Universiti Awam dan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta juga telah menubuhkan SM1JPJ.

“SM1JPJ ini ditubuhkan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dengan memberi pendedahan dan kesedaran kepada golongan muda kepentingan mematuhi peraturan jalan raya dan dengan adanya skuad ini kita yakin suatu hari nanti budaya mematuhi peraturan jalan raya di negara ini setanding dengan negara lain sekaligus dapat mengurangkan kadar kemalangan,” katanya yang menyasarkan 1 juta keanggotaan SM1JPJ pada 2020.

Ismail berkata sebanyak 494,000 kemalangan jalan raya direkodkan dengan jumlah kematian sebanyak 6,706 orang tahun lepas.

“Bila mematuhi peraturan jalan raya telah menjadi satu budaya, kita yakin kadar kemalangan akan dapat dikurangkan dan melalui skuad muda ini juga kita akan mendekati golongan ‘Mat Rempit’ bagi mengubah dan mendekati golongan tersebut untuk menjadi penunggang yang mematuhi peraturan jalan raya.

“Kita tak marah mereka menunggang motosikal, kita bagi mereka untuk teruskan aktiviti permotoran mereka tetapi dengan mematuhi peraturan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata pendidikan jalan raya juga telah mula diterapkan di peringkat sekolah menengah melalui kadet JPJ yang diperkenalkan sejak tahun lalu.

“Kita telah mulakan pilot projek di 15 buah sekolah di seluruh negara pada tahun lalu diikuti 200 buah sekolah dan tahun depan kita sasarkan semua sekolah menengah akan mempunyai kadet JPJ yang mana kita sasarkan pada tahun 2020, seramai 100,000 pelajar akan menyertai kadet JPJ.

“Kadet JPJ ini juga dididik untuk lebih prihatin terhadap keselamatan jalan raya dan kita mempunyai modul tertentu untuk melatih mereka,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *