Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Tepat jam 12.40 tengah hari tadi, UMNO melakar sejarah baharu dekad ini apabila Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) sebulat suara meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, selepas usul dicadangkan oleh wakil Pemuda dan disokong wakil Perak sebelum dibahaskan wakil negeri serta jurucakap Wanita dan Puteri.

“Di bawah Akta 5 Perlembagaan parti, usul dibawa Pemuda mengajak seluruh kekuatan dan potensi ahli dan penyokong UMNO dan komponen BN untuk meningkatkan solidariti bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Namun ada sedikit pindaan oleh Pemuda iaitu sejajar dengan Fasal 20 Perlembagaan UMNO pindaan para 5 dimasukkan perkataan-perkataan berikut:

“Justeru atas semangat kebersamaan dan kesalingan dan bagi memastikan konsep ini dapat direalisasikan, adalah dengan menjadi ketetapan untuk diputuskan dalam sidang kali ini agar jawatan Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden (Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang,” katanya sebelum menangguhkan persidangan.

Pemuda UMNO ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sebagai pencadang, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, mengemukakan satu usul tambahan supaya dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan sebagai simbol walak kepada institusi presiden dan parti.

Usul itu disokong wakil Perak, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *