Pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pelaksanaan sistem AES bukan satu tindakan menghukum sebaliknya ia merupakan langkah pencegahan memandangkan jumlah kemalangan termasuk kemalangan maut di negara ini amat membimbangkan.

“Budaya dan sikap serta kaedah pemanduan perlu diubah kalau kita (pengguna) jalan raya tidak mahu dikenakan tindakan.

“Saya tahu ia akan mengundang pelbagai persepsi, tapi pelaksanaan sistem ini telah lama ditangguhkan, jumlah denda juga dikurangkan daripada RM300 kepada RM150 walaupun ada yang anggap membebankan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan ‘Expo Outreach Dana Bumiputera @ Perak anjuran Pemuda UMNO Malaysia di sini hari ini.

Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sebanyak 1,200 lagi kamera AES akan dipasang di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara bagi merakam gambar kenderaan yang melanggar peraturan jalan raya.

Menurut Khalid dengan langkah itu, para pemandu di negara ini akan dapat dididik mematuhi undang-undang.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata pemasangan kamera AES akan dibuat oleh anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang dilantik, manakala Bahagian Trafik Polis Diraja Malaysia bertanggungjawab melaksanakan pemantauannya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kemalangan Jalan Raya berharap Kementerian Pengangkutan dapat memperhebat kempen bagi menjelaskan mengenai AES seterusnya mendidik orang ramai menjadi pengguna jalan raya yang berhemah.

Setiap tahun purata 445,000 kemalangan jalan raya berlaku di Malaysia dan daripada jumlah itu kira-kira 6,500 kes berakhir dengan kematian, katanya

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *