KUALA NERUS, Jambatan angkat yang menghubungkan Kuala Terengganu Selatan dengan Seberang Takir, di sini dijangka siap September ini dan beroperasi sebulan selepas itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif berkata jambatan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara itu dibina melibatkan kos RM248 juta dan mampu menghubungkan jalan terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

Katanya, dengan siapnya jambatan di bawah kelolaan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu, ia bukan sahaja memendekkan perjalanan dari Kuala Terengganu ke LTSM yang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit tetapi juga menjadi tarikan pelancong.

“Istimewa jambatan itu kerana ia merupakan yang pertama di Asia Tenggara. Ia menjadi mercu tanda baharu bagi negeri yang sering disebut sebagai cantik budaya menarik…ramai akan kenal Terengganu dengan jambatan angkat selain keropok lekor dan nasi dagang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja di sekitar jambatan berkenaan dengan diiringi Pengurus Besar, Bahagian Perancangan Strategik Korporat ECERDC Datuk Ragu Sampasivam di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad Razif berkata apabila siap kelak, kesesakan yang sering berlaku di jambatan Sultan Mahmud ketika waktu puncak juga akan dapat diatasi malah pelancong akan tertarik berikutan terdapatnya empat menara yang menempatkan pelbagai jenis kedai untuk jualan makanan dan barangan.

Tambahnya, kawasan itu akan dijadikan bandar warisan pesisir air dan berdasarkan perancangan awal di sekitar jambatan itu turut dibangunkan pangkalan bot dan kapal, selain kompleks membeli-belah KTCC Mall yang melibatkan kos RM1 bilion dengan dilengkapi 200 unit kedai, cineplax 10 skrin, gelanggang boling 48 lorong dan juga menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu 30 tingkat di Muara Selatan.

“Tidak berapa lama lagi Mayang Mall akan mula beroperasi di situ yang akan menempatkan apartmen yang menjadikan kawasan itu satu kawasan tarikan yang utama pengunjung dan pelancong,” katanya.

Kini orang ramai mampu memilih laluan untuk ke Kuala Nerus kerana apabila siap kelak terdapat empat jambatan yang menghubungkan Kuala Terengganu iaitu Jambatan Sultan Ismail (Pulau Rusa-Manir), Jambatan Bukit Losong (Losong-Teluk Pasu), Jambatan Sultan Mahmud (Kuala Terengganu-Bukit Tunggal) dan Jambatan Angkat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *