Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan tuduhan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang mendakwa pihaknya meluluskan konsert penyanyi antarabangsa, Selena Gomez pada Julai tahun lalu.

Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha, berkata kelulusan konsert dan seumpamanya bukan di bawah bidang kuasa jabatan itu.

“Tuduhan sebegini boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti JAKIM sebagai agensi bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

“Justeru, saya memohon kerjasama pihak yang berkaitan agar merujuk terlebih dahulu kepada JAKIM sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan agensi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, portal berita melaporkan Mohamed Azmin sebagai berkata konsert Selena Gomez di Shah Alam pada Julai tahun lalu  tidak berkaitan dengan kerajaan negeri Selangor kerana ia diluluskan JAKIM.

Mohamed Azmin berkata demikian bagi membidas PAS yang menjadikan penganjuran konsert itu sebagai punca keretakan hubungan antara parti Islam itu dan PKR.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *