Pelakon Izara Aishah mengakui bukan mudah untuk membawa watak sebagai Salina menerusi filem Kau Yang Satu kerana dia perlu berulang kali mengeluarkan air mata dengan banyak.

Izara atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham, 25, berkata terlalu banyak adegan yang memerlukan dia menangis sehingga ada ketika dia tidak mampu lagi untuk melakonkan babak tersebut.

“Watak Salina ini agak berat dan berbeza dengan diri saya. Bagi saya, ia satu cabaran apabila kebanyakkan babak dalam filem tersebut memerlukan saya menangis dengan banyak.

“Pada mula tidaklah susah tapi bila dah banyak kali keluar air mata, sampai satu masa tiba-tiba saya tak boleh dah nak nangis. Panik juga sebab bila fikir perkara sedih pun air mata tetap tak nak keluar.

“Terpaksa saya berkurung dalam bilik selama satu jam untuk dapatkan semula mood sedih. Nasib baik selepas itu boleh berlakon semula,” kata Izara ketika ditemui pada malam gala filem Kau Yang Satu di GSC Pavilion pada Khamis.

Turut hadir pada malam tersebut barisan pelakon yang terdiri daripada Aaron Aziz, Hisyam Hamid, Dr. Soo Wincci, Ahya Rosli dan Kodi Rasheed.

Filem arahan pengarah Osman Ali akan mula ditayangkan pada 27 Julai di seluruh pawagam berdekatan.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai kisah peribadi Izara masih dengan prinsipnya untuk tidak mahu terlalu terbuka walaupun dia kini tunangan anak tiri Datuk Siti Nurhaliza iaitu Adib Khalid, 27.

“Buat apa saya nak berubah dan menjadi orang lain. Saya masih pegang dengan prinsip tidak mahu terlalu terbuka bila bercakap mengenai kisah peribadi.

“Kalau orang tanya, saya akan jawab. Tapi mungkin ada beberapa perkara-perkara yang saya tidak boleh beritahu,” katanya.

Izara dan Adib mengikat tali pertunangan pada 7 Julai lalu dalam masjis tertutup. Pasangan ini akan melangsungkan perkahwinan pada 17 November depan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *