Pergeseran antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah berhubung pelaksanaan Cukai Pelancongan telah selesai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, perkara itu telah dibincang dan dipersetujui secara bersama oleh pihak yang berkenaan semasa mesyuarat jemaah menteri, semalam.

Katanya dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memutuskan perkara itu diselesaikan dan semua pihak tidak lagi mengeluarkan kenyataan berkenaan isu tersebut.

“Isu ini telah selesai, semua pihak sama ada kerajaan atau pemimpin kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan bengkel pembaharuan pendidikan Islam Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) di sini Khamis.

Ahmad Zahid berkata beliau secara peribadi telah bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berhubung isu tersebut.

Timbalan Perdana Menteri berkata mereka bersetuju bahawa masalah promosi pelancongan memerlukan dana kerana terdapat negeri kutipan cukainya adalah sedikit manakala ada negeri memungut hasil cukai yang banyak.

Beliau berkata hasil cukai akan diguna pakai untuk promosi pelancongan bukan hanya mengikut negeri tetapi mengikut bidang atau kepentingan sesuatu produk pelancongan.

“Kita juga memutuskan menutup buku isu ini (pergeseran) dan membuka buku baharu,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan pelaksanaan cukai pelancongan yang akan menyaksikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam akan dikuatkuasakan bermula 1 Julai depan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *