Istanbul bakal menjadi tuan rumah Persidangan Sidang Kemuncak Islam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 pada 10 hingga 15 April dan isu Palestin menjadi agenda utama persidangan.

Menurut kenyataan dikeluarkan OIC, sidang kemuncak Islam itu akan menetapkan agenda politik sebagai keutamaan di peringkat forum antarabangsa untuk mempertahan hak dan mengukuhkan peranan serta kedudukan OIC dalam mendukung penuh perjuangan rakyat Palestin.

“Sidang kemuncak itu juga akan membincangkan usul menyokong persidangan keamanan bagi menamatkan penaklukan haram Israel, sokongan terhadap Kumpulan Hubungan Peringkat Menteri mengenai Al-Quds Al-Sharif serta menerima pakai pelan strategik untuk pembangunan Al-Quds Al-Sharif,” jelas kenyataan itu.

Bertemakan “Perpaduan dan Kesatuan Demi Keadilan dan Keamanan”, sidang kemuncak itu turut membincangkan situasi semasa di Syria, Yaman, Libya, Afghanistan, Somalia, Mali, Jammu dan Kashmir, Bosnia-Herzegovina dan pecerobohan Armenia di Azerbaijan.

Turut dibincangkan ialah mengenai negara anggota lain yang menderita serta mengalami situasi keselamatan tidak stabil disebabkan konflik.

Menurut kenyataan itu lagi sidang kemuncak turut akan menimbangkan mengenai situasi komuniti Islam di negara bukan anggota OIC dan isu memerangi keganasan.

Agenda lain termasuk menerima pakai program tindakan OIC: 2016-2025 yang mengandungi wawasan strategik dan keutamaan khusus bagi menangani beberapa isu antaranya keselamatan dan keamanan, ekstremisme dan keganasan, kerja-kerja kemanusiaan,hak asasi manusia, pembangunan dan mengurangkan kemiskinan.

Program tindakan itu turut menumpukan isu pembasmian epedemik, hak wanita, isu kanak-kanak dan keluarga di dunia Islam, pendidikan tinggi, sains dan teknologi dan pertukaran budaya antara negara anggota OIC.

Sementara itu, isteri ketua-ketua negara anggota OIC akan mengadakan sesi Khas di luar sidang kemuncak, bertemakan ‘Kepimpinan Wanita Pertama Dalam Pengawalan Kanser di Negara Anggota OIC’.

Sidang kemuncak itu yang akan dimulakan dengan mesyuarat persediaan peringkat pegawai kanan dan menteri luar juga akan mengeluarkan pernyataan bersama dan Deklarasi Istanbul.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *