SEREMBAN, Nama Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad termasuk dalam senarai calon Negeri Sembilan yang telah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata ini kerana Mohd Isa adalah Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang dan penyandang jawatan anggota Parlimen Jempol.

“Sekiranya terpilih, kerusi mana beliau (Mohd Isa) akan bertanding, sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), itu saya tidak tahu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada majlis pecah tanah untuk pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ladang Ulu Kanchong di Taman Forest Heithts di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Senator Datuk Chong Sin Woon, Pengarah Pendidikan negeri Pkharuddin Ghazali, Pengerusi MCA negeri Datuk Seri Dr Lim Chin Fui dan Pengerusi Gerakan negeri Datuk David Choong Vee Hing.

Mohamad yang juga Pengerusi BN negeri berkata senarai calon BN Negeri Sembilan telah dihantar kepada Perdana Menteri pada Selasa lepas dan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang sesuai untuk bertanding pada PRU14.

“Setakat ini saya tidak tahu siapa calon BN negeri ini dan biarlah Perdana Menteri umumkan. Bila sudah dapat tauliah nanti, itulah calonnya.

“Jadi, siapa sahaja yang diputuskan oleh pucuk pimpinan nanti, itulah yang akan menjadi calon kepada sesuatu tempat, sama ada DUN atau pun Parlimen…itu semua diputuskan oleh pucuk pimpinan,” katanya.

Mengenai dakwaan Pakatan Harapan akan berlaku tsunami Melayu pada PRU kali ini, beliau berkata teori tsunami Melayu itu cuma teori sahaja kerana orang Melayu masih lagi mempunyai keyakinan tinggi kepada UMNO dan BN untuk terus menerajui pentadbiran negara ini.

“Bahkan, saya lihat kebelakangan ini sokongan orang Melayu terutamanya di luar bandar dan kawasan pinggir bandar nampaknya lebih baik jika hendak dibandingkan pada dua PRU yang lepas. Jadi, saya harap ini akan menjadi kenyataan pada PRU14,” katanya.

Katanya BN Negeri Sembilan yakin dapat mengekalkan 22 kerusi DUN dalam PRU14 nanti.

Katanya selain 22 kerusi itu, BN juga bertekad untuk menambah antara lima hingga tujuh kerusi lagi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *