Hampir 100 pekerja asing yang nyenyak tidur dikejutkan oleh serbuan Jabatan Imigresen Selangor, awal pagi tadi.

Serbuan bermula jam 1 pagi hingga 4 pagi di dua rumah kongsi di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor menyaksikan 99 pekerja asing diperiksa susulan aduan orang awam.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Selangor, James Lee, berkata 23 warga asing ditahan dalam operasi bersama Jabatan Pendaftaran Negara itu selepas mereka didapati melanggar peruntukan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Operasi di tapak pembinaan itu adalah hasil siasatan dan aduan orang ramai mengenai pekerja binaan yang didakwa kerap mengganggu masyarakat setempat.

“Seramai 99 warga asing diperiksa dan 23 orang ditahan atas pelbagai kesalahan, dengan 18 orang daripadanya lelaki, empat wanita perempuan serta seorang kanak-kanak perempuan.

“Kesalahan yang dilakukan adalah tiada dokumen dan pas sah serta tinggal lebih masa,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Mereka yang ditahan membabitkan 14 lelaki warga Indonesia, empat wanita Indonesia, seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, tiga lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar.

Lee berkata, seramai 17 warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tiada pas sah manakala enam lagi ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa.

“Mereka dibawa ke pejabat penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *