Jabatan Imigresen akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat ketulenan pasport warga Korea Utara yang mati di negara ini pada Isnin lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata siasatan berhubung pasport itu dilakukan PDRM memandangkan ia bukan pasport Malaysia.

“Sama ada pasport yang digunakan palsu atau tidak, kita biarkan polis untuk buat kenyataan. Pasport dia bukan pasport Malaysia dan penyiasatan telah dilakukan polis.

“Saya tidak akan mengulas lanjut mengenainya,” kata Mustafar kepada pemberita di sini hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya semalam berkata warga Korea Utara yang cuba mendapatkan bantuan perubatan awal di kaunter khidmat pelanggan di klia2 itu dikenali sebagai Kim Chol.

Menurutnya, pasport Kim Chol bernombor 836410070 dan dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun 1970.

Kim Chol dilaporkan media sebagai Kim Jong-Nam iaitu abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un.

Beliau dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Mustafar berkata warga Korea Utara itu belum melepasi kaunter pemeriksaaan Imigresen di klia2 ketika kejadian berlaku.

Kim Chol dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau pada 9 pagi.

Terdahulu, Mustafar hadir meninjau hari pertama proses pendaftaran Program Enforcement Kad (E-Kad) Sementara Pekerja Asing di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Imigresen di sini yang akan berlangsung sehingga 30 Jun depan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *