IKEA, peruncit perabot beribu pejabat di Belanda, akan menubuhkan pusat pengedaran dan rantaian pembekalan serantau bagi ASEAN di Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM908 juta.

Pusat itu akan mengguna pakai struktur dan teknologi pusat pengedaran serantau terbesar IKEA di Jerman dan akan menjadi antara 10 pusat pengedaran serantau terbesar Kumpulan IKEA di peringkat global.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan berkata, pusat baharu itu akan menguruskan inventori sebanyak 9,500 unit penyimpanan stok (SKU) bernilai RM6.6 bilion setahun.

“Gudang pengkhususan IKEA baharu seluas 100,000 meter persegi itu akan menggunakan sistem teknologi maklumat dan komunikasi bersepadunya serta automasi untuk mengurangkan pergantungan kepada buruh.

“Ia juga akan meningkatkan dengan ketara ketepatan proses pengurusan inventorinya,” katanya.

Menurut MIDA, Malaysia sentiasa menjadi pasaran penting bagi IKEA, kerana gedung runcit di negara ini adalah antara yang paling banyak dikunjungi di seluruh dunia.

Pusat itu akan memberi khidmat kepada 12 gedung IKEA di ASEAN, yang akan meningkat kepada 20 gedung pada 2026.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata projek itu adalah satu pencapaian penting kepada IKEA dan Malaysia.

“Keputusan IKEA untuk memilih Malaysia sebagai pangkalan untuk menyokong peruncit di negara ini, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina dan India, mencerminkan kesesuaian strategik negara dalam menyokong strategi pertumbuhan keseluruhan syarikat itu di rantau ASEAN.

“Penubuhan ini juga meningkatkan lagi momentum ke arah menjadikan Malaysia hab pengedaran serantau dan gerbang logistik pilihan ke Asia seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan dan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *