Share on Facebook

Oleh : Abdullah Karim

KUALA LUMPUR, Ketua Penerangan Umno Bahagian Pandan, Dato’ Haji Ibrahim Haji Zulkifli berkata beliau akan bertanding jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian pada pemilihan parti pada masa akan datang berdepan penyandang jawatan, Jamaludin Ropa.

Beliau berkata antara sebab beliau berbuat demikian kerana sebahagian besar ahli-ahli Umno di Pandan, mahukan beliau bertanding menentang Jamaludin.

Ibrahim menegaskan setakat ini 60 peratus ahli-ahli Umno Pandan mahukan Umno bahagian berkenaan berwajah baru dan mereka percaya Ibrahim mampu melakukannya.

“Pandan mempunyai cawangan lebih daripada 88 cawangan. Kalau 60 peratus mahukan saya duduk di situ (Timbalan Ketua) saya terpaksa akur,” katanya ketika di temui di Perhimpunan Agung Umno di PWTC baru-baru ini.

Ibrahim berkata sebenarnya beliau tidak berhasrat hendak melawan timbalan ketua kerana selesa jawatan sekarang. Namun setelah didesak oleh sebahagian ahli, beliau akur dan membulatkan tekad akan cuba sebaik mungkin untuk memenuhi kehendak ahli yang mahukan beliau menjadi orang nombor dua di Pandan.

Sebagai ahli parti beliau berkata atas desakan dan kehendak ahli yang mahu beliau membantu ketua sedia ada iaitu Dato’ Mohd. Haniff Koslan, beliau menerimanya dengan hati terbuka.

“Saya berharap ahli parti yang berkehendakkan saya jadi timbalan, marilah bersama saya untuk pastikan saya menang nanti,” katanya.

Ketika ditanya apakah strategi yang bakal digunakan untuk meraih kemenangan, beliau yang juga Pengerusi salah sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur menegaskan strategi untuk menang tidak seharusnya di kongsi dengan khalayak serta belum masanya untuk beliau memberitahu apakah cara untuk mencipta kemenangan.

“Setiap calon mesti ada strategi. Kalau tidak ada formula menang lebih baik kita tidak menerima pencalonan atau dengan lain-lain perkataan lebih baik kita menolak kehendak ahli.

“Ingin saya tegaskan iaitu sudah tentu dalam ramai-ramai penyokong yang berkehendakkan saya bertanding ada formula tersendiri supaya saya menang. Kalau mereka meresakan saya tak boleh menang, sudah tentu mereka tidak minta saya bertanding,” katanya.

Mengulas ucapan penggulungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada terakhir Perhimpunan Agung Umno pada Sabtu lepas, Ibrahim berkata ucapan PM merupakan satu ingatan kepada kita semua, terutama sekali menjelang Pilihan raya umum yang akan diadakan pada tahun hadapan.

“Bagi pendapat saya PM kita minta semua jentera Umno bersiap sedia dari sekarang. Mana-mana yang belum sempurna harus disempurnakan supaya nanti apabila wisel pilihanraya ditiupkan, kita sudah bersedia melancarkan perang PRU,” katanya.

Ibrahim berkata beliau akan membantu mana-mana calon yang terpilih baik di parlimen Pandan mahupun peringkat Dewan Undangan Negeri demi mempastikan BN menang pada kali ini.

Sebagai ahli parti, kita seharusnya menerima sesiapa sahaja calon yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan dan memberikan penuh komitmen kepada jentera pilihan raya part untuk menentukan kemenangan mutlak kepada calon pilihan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *