Jawapan kepada persoalan hukum cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terletak di tangan rakyat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, rakyat terlebih dahulu mungkin boleh menjawab, dan pemerintah perlu menjelaskan sejauh manakah GST benar-benar merealisasikan kemaslahatan rakyat.

“Ada yang bertanya saya tentang hukum GST. Sebelum menjawab persoalan itu hendaklah dikaji apakah GST telah memberi kemaslahatan kepada rakyat ataupun sebaliknya?,” ujarnya.

Katanya, timbul juga persoalan; bolehkah pemerintah ambil cukai daripada rakyat? Jawapannya, hal itu hendaklah dilihat kepada apakah cukai itu mendatangkan kepentingan kepada rakyat ataupun satu keburukan dan kesusahan kepada rakyat.

“Jika cukai itu kembali kepada kepentingan hidup rakyat maka ia dibolehkan. Jika ia membebankan dan tidak kembali kepada kemaslahatan rakyat, maka ia sesuatu yang haram.

“Jika secara nyata cukai itu mengembalikan faedah kepada rakyat, maka kita sebagai rakyat wajib taat dan menyokongnya. Jika zahir daripada cukai itu bebanan ke atas rakyat ataupun penyalahgunaan wang awam yang dikumpul, maka ia sesuatu yang mungkar dan hendaklah ulama membantahnya,” katanya.

Beliau berkata, konsep siasah dalam Islam secara umum menetapkan tindakan pemerintah dalam urusan rakyat dibina atas kemaslahatan rakyat.

“Ini bermaksud urusan pemerintahan itu segala keputusan dan tindakan hendaklah berasaskan kepentingan rakyat yang tidak bercanggah dengan syarak.

“Jika ada tindakan penguasa yang mencanggahi kepentingan rakyat dan negara, sebaliknya sekadar kepentingan beberapa pihak tertentu sahaja sehingga mengorbankan kepentingan rakyat awam maka itu jelas bercanggah Islam,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Khairuddin Aman Razali pada muktamar tahunan parti itu berkata, pelaksanaan GST bercanggah dengan Islam walaupun difatwakan sebagai harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pas katanya, mungkin mempunyai sebab kukuh untuk mengatakan bahawa GST itu haram.

Menurutnya, terdapat tiga sebab utama jika kerajaan ingin mengenakan cukai kepada rakyat iaitu pertama, jika pendapatan negara kurang.

“Kedua, jika pendapatan negara kurang bukan disebabkan oleh ketirisan yang berlaku di negara, dan  ketiga, cukai harus dikutip daripada orang kaya sahaja.

“Maka, disebabkan syarat ketiga ini dilihat bercanggah dengan pendirian Islam kerana pelaksanaan GST itu merangkumi semua pihak,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *