Hubungan Malaysia dan Singapura semakin utuh selepas 52 tahun republik itu mencapai kemerdekaan pada 9 Ogos 1965, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata hubungan kedua-dua negara yang semakin kukuh itu disumbangkan banyak faktor termasuk berkongsi sejarah yang sama, merupakan jiran paling dekat dan sama-sama menyertai ASEAN pada 8 Ogos 1967.

Singapura ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia selepas China dengan jumlah dagangan bernilai RM190.6 bilion pada 2016 atau 13 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia tahun itu, katanya dalam catatan di laman blog sskeruak.blogspot.my sempena ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-52 hari ini.

Singapura menjadi sebuah wilayah merdeka pada 1965 selepas keluar daripada Persekutuan Malaysia yang dibentuk bersama Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Menurut Salleh, Singapura kini merupakan pelabur utama Bandar Iskandar Malaysia di Johor sebanyak RM11 bilion.

“Bukan hanya itu, Singapura dan Malaysia juga mempunyai kerjasama dalam banyak bidang lain. Misalnya, kedua-dua negara sedang dalam perancangan membangunkan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura, bekerjasama rapat dalam soal mengatasi jenayah militan agama dan jenayah rentas sempadan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Salleh berkata hubungan baik kedua-dua negara ada kalanya berdepan masalah yang perlu diatasi dengan bijak agar tidak menimbulkan konflik berterusan.

“Misalnya, dalam kes perjanjian air, kes tanah keretapi Tanah Melayu, kes CPF (Central Provident Fund), kes perebutan Pulau Batu Putih dan Tambak Laut. Semua kes tersebut telah pun diselesaikan secara baik,” jelasnya.

Beliau turut berharap dasar hubungan dagang yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu mengeratkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara pada masa depan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *