Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamatkan lawatan kerja lima hari di United Kingdom (UK) hari ini dengan kejayaan memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala khususnya dalam usaha menangani isu keganasan dan isu keselamatan sejagat.

Tidak kurang pentingnya, lawatan itu turut memberi kesan positif kepada pengukuhan hubungan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, yang pada masa ini menyaksikan jumlah perdagangan sebanyak RM10.6 bilion pada tahun lalu dan RM10.1 bilion dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Secara peribadinya, lawatan kali ini meninggalkan kesan mendalam kepada Ahmad Zahid yang menjadi tokoh pertama diundang memberi syarahan umum di Auditorum Malaysia, di bangunan baharu Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) Universiti Oxford, dengan ucaptamanya bertajuk “De-Rooting Radicalism and Extremism” (Pengislahan Radikalisme dan Ektremisme).

Pada syarahan umum yang dihadiri oleh cendekiawan dan jemputan khas itu, timbalan perdana menteri mengupas mengenai punca-punca berlakunya radikalisme, ekstremisme dan keganasan selain memberi penjelasan terhadap salah faham oleh masyarakat antarabangsa tentang isu itu.
Beliau turut mengesa masyarakat global supaya bersama-sama bertanggungjawab untuk “de-root” atau mengislahkan punca-punca yang menyebabkan radikalisme, ektremisme dan keganasan itu menular.

Dalam jadual yang agak padat sepanjang lima hari berada di UK, Ahmad Zahid telah berkesempatan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan agensi-agensi keselamatan selain pemain-pemain penting dalam sektor pelaburan dan perniagaan di negara ini.

“Lawatan kali ini memperlihatkan keprihatinan United Kingdom kepada Malaysia bukan hanya terhad kepada hubungan tradisi tetapi mereka mahu terus memperkukuhkan jalinan hubungan antara kedua-dua negara dalam bidang-bidang kepentingan bersama,” kata Ahmad Zahid kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatannya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengadakan pertemuan pertamanya dengan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri UK yang baharu, Amber Rudd dan perbincangan mereka menghasilkan persetujuan positif berhubung kerjasama kedua-dua negara dalam usaha menangani isu keganasan dan isu keselamatan.

Pihak UK telah menyatakan minat dengan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah yang dilaksanakan di Malaysia, yang dilihat mampu menjadi asas penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi masyarakat Islam dunia.

UK bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk menganjurkan secara bersama satu persidangan antarabangsa mengenai konsep kesederhanaan di sini.

Malaysia pula, katanya menyokong agar UK menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Perhambaan Moden, susulan daripada keputusan satu perbincangan meja bulat di New York pada 18 Sept lalu.

Menyentuh tentang syarahannya di Oxford, Ahmad Zahid berkata Malaysia dan negara-negara Islam yang lain harus memberi penjelasan kepada masyarakat dunia tentang punca-punca kepada masalah radikalsime, ekstremisme dan keganasan bagi memperbetulkan salah faham pihak barat terhadap isu itu yang lebih dikaitkan dengan Islam sedangkan agama itu menganjurkan tentang perdamaian.

“Persepsi negara barat terhadap kita (negara Islam) harus kita depani. Kita harus memberi gambaran sebenarnya bahawa Islam tidak menggalakkan keganasan,” katanya.

Mengenai pandangan Presiden Amerika Syarikat yang baharu dipilih Donald Trump terhadap Islam, beliau berkata walaupun ia agak lari daripada landasan sebenar apabila memandang dengan penuh prasangka terhadap orang Islam, namun beliau percaya dasar yang akan dilaksanakan Trump akan lebih bersifat sederhana dan menerima agama Islam dan orang Islam dalam perspektif yang sebenarnya dan bukan didorong oleh emosi

Beliau juga percaya dasar luar Amerika Syarikat tidak akan banyak berubah sama ada seorang presiden yang dipilih itu daripada parti Republican atau Democrat kerana dasar Amerika sedia ada akan terus dikendalikan oleh pemuka-pemuka diplomasi yang terdiri daripada diplomat yang ada di Jabatan Negara.

“Saya yakin apa yang akan dilakukan oleh presiden baharu AS tentunya mungkin tidak banyak lari daripada dasar sedia ada dan dengan penuh rasa positif saya yakin usaha Malaysia untuk terus memperolehi program pengecualian visa akan dapat dilaksanakan apabila semua syarat yang ditetapkan telah dipenuhi oleh pihak Malaysia.

“Ini kerana ia bukan syarat yang ditentukan oleh mana-mana presiden AS, atau mana-mana individu yang menjadi pemimpin Jabatan Negara, tetapi merupakan dasar negara dan jika sesebuah negara itu telah menepati semua syarat-syaratnya, ia akan dmasukkan ke dalam program pengecualian visa ini,” katanya.

Dari segi kerjasama ketenteraan, Ahmad Zahid telah mengulangi komitmen Malaysia untuk meneruskan latihan bersama dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang dianggotai UK, Australia, New Zealand, Singapura dan Malaysia.

Mengenai pihak swasta di UK, katanya para peneraju industri di UK masih mengharapkan jalinan hubungan yang baik dengan Malaysia terutamanya kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk kepada pasaran barangan dan perkhidmatan daripada UK ke negara-negara ASEAN.

Sehubungan itu mereka mengharapkan Malaysia akan terus memainkan peranannya dalam hubungan ini untuk menjadikan ASEAN sebagai tempat pasaran kepada barangan dan perkhidmatan daripada UK, kata beliau.

“Ini juga termasuk perkakasan dan aset kepolisian dan ketenteraan. Tentunya produk “state of the art” yang mereka hasilkan, yang pada hemat saya mempunyai kemampuan setanding dengan beberapa negara Eropah yang lain ataupun dari negara-negara Amerika Utara yang juga mengeluarkan produk yang sama,” katanya.

Menyentuh soal isu keselamatan dan keganasan yang sering beliau bawa ke pentas dunia seperti pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Perhimpunan Agung PBB dan forum antarabangsa, Ahmad Zahid menegaskan bahawa beliau membawa pandangan Kerajaan Malaysia untuk faedah keselamatan sejagat dan ia bukan misi peribadinya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *