Share on Facebook

KUALA KANGSAR, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyambut baik aku janji yang dibuat Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA) dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengenai penetapan tiada sebarang polisi melarang pekerja wanita bertudung.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata beliau menyerahkan hal berkaitan penguatkuasaan kepada pihak terbabit.

“Kita sambut baik dan serahkan penguatkuasaan berkenaan hal itu kepada mereka.

“Sebelum ini saya sudah mengeluarkan kenyataan agak keras berhubung perkara ini dan bagi saya dalam melaksanakan polisi ini, kita serahkan kepada mereka yang bertanggungjawab kerana saya difahamkan aku janji sudah dibuat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan kepada Pekebun Kecil RISDA di Dewan Orang Ramai Kampung Cheh Hulu, Kati, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah RISDA negeri, Fikri Abd Ghani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubuk Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan ADUN Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor.

Khamis lalu, MAH, MAHO dan MYBHA yang mewakili lebih 3,000 hotel yang beroperasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak memeterai aku janji dengan KSM untuk tidak menetapkan sebarang polisi yang melarang pekerja wanita beragama Islam memakai tudung.

Mohamed Nazri berkata, langkah terbaik adalah semua pihak perlu kekal dengan undang-undang atau peruntukan sedia ada dan jika tindakan diskriminasi masih berlaku, kementerian akan mengambil tindakan.

Sementara itu, Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, beliau sedia bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) jika kesihatan mengizinkan dan diarahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak serta kepimpinan di peringkat akar umbi.

“Berkhidmat (kepada rakyat) sudah menjadi darah daging saya sejak 23 tahun dilantik wakil rakyat dan jika keadaan kesihatan mengizinkan, saya tidak akan menghampakan mereka,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *