Share on Facebook

Hospital medan tajaan Malaysia yang mula dibina semalam berhampiran kem pelarian etnik Rohingya di sini, kini siap 30 peratus dan dijangka siap sepenuhnya esok.

Hospital medan yang setaraf hospital daerah berpakar bernilai RM3.5 juta dengan keluasan 100 x 70 meter itu terletak di wilayah Ukhiya, kira-kira 10 minit perjalanan dari kem-kem utama iaitu Kem Pelarian Kutupalong dan Bhalukali.

Ketua Penasihat Teknikal Hospital Medan Malaysia Kol Dr Mohd Arshil Moideen berkata sebaik siap, hospital medan itu yang bakal menjadi hospital medan terlengkap dari segi kemudahan di sekitar kawasan itu, akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hospital medan ini telah dipasang sejak 5 pagi Sabtu dengan kekuatan 10 anggota dan kesemua peralatan perubatan berada dalam keadaan baik,” katanya selepas memberi penerangan kepada rombongan Anggota Parlimen Malaysia yang melihat perkembangan persiapan hospital berkenaan, semalam.

Dalam lawatan itu, delegasi anggota parlimen terbabit meluangkan masa 30 minit bagi melihat sendiri kerja-kerja memasang struktur khemah yang dilakukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dr Mohd Arshil yang juga doktor pakar epidemiologi klinikal, Kor Kesihatan Diraja ATM turut menjangkakan hospital tersebut bakal menerima jumlah pesakit yang tinggi, justeru tempoh tiga bulan operasi adalah tidak mencukupi.

“Kita berharap tempoh ini akan dilanjutkan bagi mereka (pelarian) ini mendapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Menurut Dr Mohd Arshil, selain perkhidmatan klinikal, KKM juga akan menyediakan sokongan psikologi kepada pelarian Rohingya terutamanya mereka yang telah melalui detik hitam seperti dirogol dan anggota keluarganya dibunuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan hospital medan yang dijangka beroperasi 1 Dis ini boleh menempatkan sehingga 150 pesakit pada satu-satu masa selain dilengkapi bilik pembedahan, x-ray serta bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak.

Hospital medan yang didirikan ATM itu akan dikelola sepenuhnya oleh KKM dengan 140 petugas Tim Perubatan Malaysia termasuk doktor pakar.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *