Share on Facebook

PUTRAJAYA, Perhimpunan besar-besaran bagi menunjukkan semangat solidariti membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel akan diadakan di Masjid Putra di sini, Jumaat depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dijadual memberi ucapan pada perhimpunan itu.

Katanya, perhimpunan itu yang dijadualkan bermula jam 2.30 petang dan berakhir jam 4 petang, akan turut membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam.

“Saya menyeru seluruh rakyat dan pemimpin NGO tanpa mengira agama untuk berkumpul dan menghadiri perhimpunan bagi memberi sokongan sepenuhnya kepada usaha Malaysia,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pendirian Malaysia yang dibawa Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki, Rabu lalu, menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam isu berkenaan.

“Kita yakin langkah yang disebut Perdana Menteri dalam sidang kemuncak luar biasa itu adalah suatu keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap dasar dan keputusan kerajaan AS di bawah pimpinan Donald Trump,” katanya.

Pada sidang kemuncak luar biasa itu, Malaysia mengutuk dan menolak keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, sebaliknya mengiktiraf sepenuhnya bandar suci itu sebagai ibu kota Palestin.

Serentak itu, Perdana Menteri menggesa OIC bersatu dan senada, bagi memastikan sebarang percubaan mengubah status quo serta keadaan bandar suci umat Islam itu tanpa restu rakyat Palestin, dihalang dan ditolak sekeras-kerasnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *