Oleh : Abdullah Karim

MELAKA, Datuk Hasan Abd. Rahman berkata gelaran Wira Pembangunan Sungai Rambai yang diberikan penduduk Sungai Rambai kepadanya amat beliau hargai. Ia merupakan salah satu ciri kehidupan yang diberikan oleh masyarakat kepada setiap pemimpin yang mereka fikirkan berjaya membangunkan satu-satu kawasan.

Pun begitu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai itu, beliau sama sekali tidak akan melupakan tugas hakikinya iaitu membangunkan kawasan diwakilinya ini, walaupun gelaran wira diberikan kepada beliau.

“Pertamanya saya amat menghargai apa juga gelaran masyarakat DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Rambai kepada saya. Gelaran dan nama itu hanyalah salah satu ciri kehidupan sebenarnya.

“Namun apa juga gelaran, satu prinsip yang saya pegang sejak dulu sampai kini ialah hidup ini merupakan satu perjuangan. Ia mesti ditunaikan setelah kita diberikan amanah,” katanya dalam satu pertemuan eksklusif di Seri Negeri, baru-baru ini.

Kata beliau sebaik sahaja diamanahkan menjaga kawasan Sungai Rambai pada 2008 banyak pembangunan dirancangnya di sini. Antara pembangunan tersebut termasuklah dari segi pembangunan ekonomi, pendidikan agama dan kebajikan.

“Pembangunan yang saya zahirkan di sini ialah berteraskan tranformasi yang sebenarnya. Sebelum ini kalau kita lihat Sungai Rambai ini sebenarnya merupakan sebuah kampung lesu dan layu ataupun bak kata orang putih ‘sleepy hollow’. Kini kawasan ini sudah ditransformasi daripada sebuah desa kepada bandar.

“Kalau kita lihat, banyak pembangunan pendidikan ada di sini. Kita ada sekolah rendah dan sekolah menengah. Di sini juga akan ada sebuah institusi awam iaitu UiTM yang mana fakulti agro merupakan pilihan utama di situ. Ia amat sesuai dengan status kawasan ini sebagai kawasan pertanian,” katanya.

Beliau yang juga Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka berkata apabila siap sepenuhnya, kompleks UiTM yang bernilai RM300 juta, itu mampu menampung sejumlah 10,000 pelajar termasuk kakitangan universiti serta para pensyarah.

Datuk Hasan berkata lagi, hasil adunan beliau dengan kepimpinan negeri, sebuah kota amat indah telah dibangunkan di DUN ini. Kota Al Hasanah merupakan sebuah kota bercirikan islamik telah berdiri megah dan menjadi mercu tanda Sungai Rambai.

Di situ terdapat sebuah mahkamah syariah, masjid Al Hasanah dan tidak lama akan berdiri megah sebuah hotel baget yang bercirikan seni bina Islam.

“Saya juga akan mempastikan semua masjid di sini akan ada menara. Mana-mana masjid lama akan kita naikkan taraf dan ubah suai serta kita juga akan bina masjid baru mengikut keperluan,” katanya.

Beliau juga memberitahu untuk membangunkan ekonomi penduduk, sebuah ladang seluas 88 ekar telahpun dipenuhi oleh ternakan kambing, rusa dan lembu serta 500 ekar tanah sawah sudahpun ditanam padi beras wangi.

“Kita juga sedang merancang untuk membina sebuah kilang beras di DUN ini dalam masa terdekat. Apabilla semua siap nanti, DUN ini akan menjadi sebuah DUN Jelapang Padi di Melaka,” katanya.

Untuk menyemarakan lagi pembanguan di Daerah Kecil DUN Sungai Rambai ini, Datuk Hasan berkata Fasa 1, Kota Budaya sudahun dibina. Ia menempatkan sebuah tempat riadah masyarakat serta galeri dan pusara pengasas Sungai Rambai iaitu Tok Kebal.

Datuk Hasan seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Datuk Ir. Idris Haron yang telah memberikan kerjasama penuh kepada beliau sehinggakan Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) berjaya di bangunkan di sini.

Lebih membanggakan beliau mengenai RTC ini ialah setelah setahun beroperasi, pusat tersebut telah berjaya mengutip ‘revenue’ melebihi RM30 juta. Jumlah ini merupakan satu jumlah diluar jangkaan.

“Semasa kita nak bina pusat transformasi ini, ramai pihak kata ia tak releven dan ada yang kata ia jauh dari pusat bandar. Apatah lagi Sungai Rambai ini tak maju. Kini transformasi ini merupakan antara yang terbaik di Malaysia sebab dalam masa setahun pusat ini telah mendapat kutipan jumlah transaksi 30 juta. Perlu saya tegaskan di ini, pusat ini berdiri atas kaki sendiri tanpa ada stesyen bas dan pasar borong sepertimana RTC di tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau berkata lagi sebuah kompleks pentadbiran di Daerah Kecil Sungai Rambai bernilai RM 2.5 juta bakal didirikan di sini. Kompleks tersebut sedang dalam proses pembinaan dan ia mampu menarik minat pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta untuk menyewa bilik seminar yang serba canggih.

Datuk Hasan menafikan cakap-cakap bahawa penduduk Sungai Rambai terlalu ramai orang miskin sehinggakan jumlah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  meningkat kepada 188 orang. Jumlah ini dikatakan antara jumlah terbesar penerima bantuan JKM jika dibandingkan daerah lain di Melaka.

“Sebelum saya, penerima bantuan JKM hanya RM 68,000 kini setelah saya berada di sini, jumlahnya meningkat hampir suku juta ringgit. Zaman saya ini, zaman tunaikan janji dan bukan soal kawasan saya ini banyak orang susah ataupun miskin,” jelas beliau.

Beliau tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid dan Datuk Seri Ir Idris kerana ketiga-tiga pemimpin ini merupakan arkitek pembangunan Sungai Rambai. Tanpa sokongan dan dorongan mereka belum tentu tempat ini akan berubah daripada sebuah kawasan layu kepada penuh dengan pembangunan.

Pemimpin ‘humble’ ini percaya dengan adanya pembangunan serta bantuan-bantuan berterusan daripada kerajaan, nescaya pengundi-pengundi akan selesa dan akan memberikan kemenangan kepada calon yang diperkenalkan pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14) nanti.

Penulis Menemubual Datuk Hassan Di Pejabatnya Pada Rabu, Penulis Disambut Dengan Baik Sekali.

“Saya mempunyai fasafah mudah iaitu sekiranya cara yang kita lakukan ini boleh menggembirakan rakyat sudah tentu mereka akan membalas jasa kita. Mereka tidak pernah peduli apa juga isu yang berkisar di sekitar mereka, yang penting sekali ialah kehidupan mereka kita ambil tahu,” katanya.

Mengenai cadangan Presiden Umno dan timbalannya mahukan lebih ramai calon muda diketengahkan pada PRU 14 ini, Datuk Hasan amat menyetujuinya.

“Saya ingin tegaskan di sini pada PRU 14 nanti calon muda harus diberi peluang jadi wakil rakyat. Kita kena ingat pengundi lepas lepas merdeka mereka merupakan jumlah terbanyak pengundi iaitu 60 peratus. Mereka ini tidak akan mengundi calon lama sebab mereka mahukan pemimpin sebaris umur mereka untuk jadi ketua. Mana mungkin pengundi berusia 21 tahun nak undi calon berusia 60 tahun,” katanya.

Walau bagaimanapun kata beliau apabila memperkataka soal calon ini, lebih baik diserahkan kepada Perdana Menteri dan timbalannya. Kerana kedua pemimpin tertinggi Umno dan BN ini lebih arif tentang siapa yang layak diketengahkan pada PRU 14 nanti.

Datuk Hasan menyarankan kepada pucuk pimpinan Melaka, seandainya Melaka ingin dikenali sebagai aset parti, tumpuan lebih agresif diberikan kepada kawasan berkedudukan 50-50. Pada masa sama tumpuan juga harus dihalakan kepada kawasan yang dikenal pasti menang supaya negeri ini memperolehi kemenangan besar pada PRU kali ini.

Mengenai cakap-cakap politik yang mengaitkan dirinya bakal Ketua Menteri Melaka, seandainya perubahan kawasan ditandingi Datuk Seri Idris bertukar dari DUN ke Parlimen, Datuk Hasan menjelaskan beliau sebenarnya tidak ada cita-cita besar dalam senario politik Melaka.

Namun katanya seandainya itulah yang dikehendaki oleh Takdir dan pihak pucuk pimpinan negara memberi restu, beliau sedia memikul amanah negeri dan bertekad memakmurkan Melaka sepertimana dilakukannya di Sungai Rambai.

Mengakhiri pertemuan itu, beliau memohon kepada semua pengundi di Melaka sama ada yang menyokong kerajaan ataupun tidak supaya mengetepikan sejenak titik bengit ataupun perselisihan pendapat buat sementara waktu. Sebaliknya bersatu hati dan berlapang dada dengan meletakkan kepentingan anak bangsa daripada kepentingan diri.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *