Musim tengkujuh yang melanda negara terutama beberapa negeri di pantai timur kini dipercayai menyebabkan kekurangan bekalan barang keperluan di pasaran, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga.

Tinjauan ke beberapa pasar di sekitar Kuala Lumpur mendapati harga barang keperluan seperti ikan dan sayur-sayuran meningkat dipercayai akibat kekurangan bekalan.

Harga barang basah terutama ikan, sotong dan udang mengalami kenaikan harga antara RM2 dan RM4 sekilogram.

Peniaga ikan di Pasar Chow Kit, Chia Kar Peng, 26, berkata ikan kembung, ikan merah, sotong dan udang mengalami kenaikan sekitar RM3 sekilogram berikutan cuaca tidak menentu sejak akhir tahun lepas.

“Sebelum ini harga ikan kembung RM12 sekilogram, kini menjadi RM15, manakala sotong besar sebelum ini berharga RM10 sekilogram, sekarang menjadi RM12 sekilogram,” katanya.

Peniaga daging, Asyraf Mohidin, 29, pula berkata harga daging terpaksa dinaikkan berikutan kurang bekalan daging tempatan dan terpaksa bergantung daging yang diimport dari India.

“Sebelum ini, daging biasa berharga RM20 sekilogram namun kini menjadi RM23. Kenaikan ini disebabkan kejatuhan nilai ringgit,” katanya ketika ditemui.

Bagi harga sayur-sayuran, seorang peniaga Lim Gaik Lean, 37, berkata ia meningkat berikutan bekalan sayur-sayuran dari Cameron Highlands berkurangan secara drastik disebabkan hujan lebat kebelakangan ini.

“Kebanyakan peniaga bergantung bekalan dari Cameron Highlands, apabila musim hujan, bekalan jadi kurang dan harga terpaksa dinaikkan sekitar RM2 hingga RM5 sekilogram.

“Dulu harga kobis RM2.50 sekilogram, sekarang jadi RM5 sekilogram, bendi pula dari RM2 sekilogram menjadi RM4 sekilogram dan bawang putih mengalami kenaikan ketara dari RM15 sekilogram kepada RM20 sekilogram,” katanya.

Bagi Mohd Sharif Yusof, 60, dari Kampung Baru ketika ditemui di Pasar Keramat mengeluh dengan kenaikan harga barangan basah seperti ikan, sotong dan udang serta sayur-sayuran.

Katanya, harga bagi sekilogram ikan merah sekarang mencecah RM40 sekilogram berbanding hanya RM36 sekilogram sebelum musim tengkujuh.

“Harga bagi udang besar juga meningkat daripada RM36 kepada RM38 sekilogram,” katanya, menambah dia rasa terbeban kesan kenaikan harga berkenaan.

Hajariah Ibrahin, 43, dari Putrajaya yang kebetulan singgah di pasar berkenaan berkata harga ikan di pasar itu masih bersesuaian berbanding di pasar Putrajaya.

“Biasanya saya beli di pasar Putrajaya, ikan kembung harga RM19 sekilo, dekat sini (pasar Keramat) harganya RM16.50 sekilo, manakala harga udang di pasar Putrajaya naik sehingga RM40 sekilo berbanding RM36 sekilo sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman ketika dihubungi, mengakui kenaikan harga barangan keperluan itu berikutan berlaku kekurangan bekalan di pasaran sekarang ini.

“Apabila musim tengkujuh, nelayan tidak dapat turun ke laut, harga ikan tempatan akan naik menyebabkan bekalan ikan berkurangan. Oleh itu, kita terpaksa bergantung kepada ikan yang diimport, yang telah disejuk beku dengan harga lebih rendah.

“Harga ikan menjadi mahal kerana kos pengangkutan dan kekurangan bekalan, sedangkan permintaan pengguna masih tetap,” katanya.

Beliau berkata bagi kawasan yang mengalami kekurangan bekalan ikan, terutama negeri yang sedang terlibat dengan banjir, bekalan ikan diperoleh daripada negeri-negeri lain bagi memenuhi permintaan pengguna.

Bagaimanapun, katanya setakat ini, pihaknya belum menerima aduan mengenai kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran seperti yang dilaporkan media.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *