BAGAN DATUK, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendidikan adalah kaedah terbaik untuk menghapuskan kemiskinan dan gejala sosial yang membelenggu semua kaum di negara ini.

Beliau berkata remaja yang tidak dapat menyambung pelajaran akibat kemiskinan akhirnya akan tercicir dan mudah terjebak dalam gejala sosial.

“Minta maaflah, saya nak cakap. Di Malaysia ni, kaum India terkenal dengan gangsterism, Melayu terkenal dengan dadah dan Cina terkenal dengan judi.

“Kita mahu ketepikan judi, dadah dan gangsterism kerana yang penting, anak-anak terdidik supaya tidak berlaku jenayah serta pengangguran mengikut kaum,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar motivasi untuk 150 pelajar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil peringkat daerah Bagan Datuk di Sungai Sumun di sini, malam tadi.

Seminar motivasi itu dianjurkan Persatuan Hal Ehwal Masyarakat India Hutan Melintang (Hemi) yang ditubuh sejak 2010 bagi memenuhi asas keperluan masyarakat India Bagan Datuk.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang S.Kesavan merangkap penasihat Hemi dan Pegawai Daerah Bagan Datuk Datuk Hamzah Hussin.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk juga berkata beliau akan terus komited membantu pendidikan para pelajar di kawasan itu menerusi pelbagai cara bagi meningkatkan taraf sosial dan kehidupan mereka.

“Keutamaan saya ialah pendidikan. Itu sebabnya saya amat menggalakkan motivasi pendidikan tidak kiralah UPSR, PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3), SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) tanpa mengira kaum.

“Mana ada Anggota Parlimen di Malaysia yang memperuntuk RM500,000 setahun bagi program pendidikan di kawasan ini. Kita ketepikan perbezaan politik agar anak-anak kita berjaya,” kata beliau.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *