Seorang guru wanita sebuah sekolah rendah dekat Mentakab, Temerloh terpaksa berputih mata apabila kerugian RM392,800 selepas ditipu kekasih siber yang dikenalinya menerusi laman sosial pada Jun tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang Supt Azizan Md Isa berkata, mangsa yang berumur 43 tahun berkenalan dengan lelaki warga asing yang dikenali sebagai Michael Saed, yang menjanjikan sebuah rumah, barang kemas dan wang tunai.

“Sepanjang perkenalan, mangsa telah dibuai dengan ayat-ayat manis termasuk dijanjikan barang kemas serta sekeping cek berjumlah RM500,000 atas nama mangsa untuk membeli rumah.

“Pada 23 Julai tahun lepas, seorang wanita telah menghubungi mangsa menerusi telefon memberitahu barang yang dihantar Michael tiba di Malaysia sebelum memintanya membayar kos penghantaran berjumlah RM5,700.

“Terpedaya dengan perkara itu, mangsa kemudian memasukkan wang berkenaan dua hari kemudian di sebuah bank di Temerloh sebelum dihubungi sekali lagi oleh wanita yang sama memintanya membayar lagi RM20,000 untuk tujuan memproses cek berjumlah RM500,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, tidak cukup dengan penipuan itu suspek terus memperdayakan mangsa dengan meminta guru wanita itu membayar kos penyediaan dokumen, bayaran peguam, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan lain-lain cukai.

Beliau berkata mangsa yang percaya dengan kekasih sibernya itu sanggup membuat pinjaman dengan ah long, adik-beradik dan mengadaikan barang kemas orang tuanya semata-mata mahu menuntut hadiah yang ditawarkan kekasih sibernya itu.

“Sepajang tempoh berkenaan didapati mangsa telah membuat 114 transaksi di dua bank berasingan di Mentakab melibatkan wang berjumlah RMRM392,800.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati barangan yang dikirim bersama sekeping cek kepadanya tidak kunjung tiba sebelum membuat laporan di Balai Polis Mentakab petang semalam,” katanya.

Katanya kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara, sebat dan denda.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *