PENAMPANG, Taktik dua warga asing menggunakan aplikasi WeChat untuk menawarkan khidmat seks terbongkar apabila mereka diberkas, di sini, petang semalam.

Wanita berusia 25 dan 27 tahun yang berasal dari Mongolia serta China itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah hotel di Jalan Penampang Bypass, di sini, kira-kira jam 3.30 petang.

Serbuan yang dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan diketuai Inspektor Hasryman Osman itu turut menahan dua lelaki disyaki pelanggan.

Turut dirampas beberapa kotak berisi kondom, cecair pelincir, tiga telefon bimbit, kad bank, buku catatan dan wang tunai RM1,100 dipercayai hasil kegiatan pelacuran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman, berkata bertindak atas maklumat, polis dari D7 IPK Sabah menyerbu dua bilik di sebuah hotel.

“Hasil serbuan, polis menahan dua wanita warga Mongolia dan China kerana disyaki menawarkan khidmat seks.

“Siasatan lanjut mendapati suspek ini dipercayai mencari pelanggan dengan menggunakan aplikasi WeChat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Salehhudin berkata, wanita terbabit tiba di negara ini awal bulan ini dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Siasatan masih diteruskan dan kedua-dua suspek bersama-sama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi tujuan persundalan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *