Ibarat irama dan lagu, begitulah sinonimnya labu sayong dengan Kuala Kangsar.Namun, mungkin ramai tidak tahu selain labu sayong, Kuala Kangsar yang merupakan Bandar Diraja turut terkenal dengan pembuatan golok, satu lagi tarikan pelancongan ke bandar berkenaan.

Seorang pengusaha, Abdul Mazin Abdul Jamil, 66, berkata beliau menghasilkan tiga hingga empat bilah golok sehari dan kebanyakan tempahan dari Brunei, Singapura, England, Perancis serta Afrika.

Beliau berkata harga bagi setiap golok bergantung kepada kualiti, saiz dan keunikan setiap produk yang dihasilkan.

“Saya merupakan generasi keempat memperoleh ilmu membuat golok ini. Bukan mudah, banyak perlu dipelajari. Golok ini memang asalnya dari Kuala Kangsar dan banyak kegunaannya,” kata beliau di sini baru-baru ini.

Abdul Mazin yang merupakan anak jati Kampung Padang Changkat berkata beliau mempelajari ilmu membuat golok daripada datuknya, Pandak Lam yang juga anak kepada Tukang Mamat seorang tukang diraja Kuala Kangsar.

Bercerita lanjut, Abdul Mazin berkata golok terbahagi kepada tujuh jenis dan setiap jenis mempunyai pelbagai kegunaan seperti menyembelih, melapah, meraut, menebas termasuk memotong pokok, mengikut permintaan pelanggan.

Bagi memastikan martabat warisan itu berkekalan, Abdul Mazin menurunkan ilmu pembuatan golok kepada seorang anaknya Saiful Hazrin, 28.

“Kawan-kawan saya yang lain kebanyakannya tiada pewaris dan ilmu mereka itu terhenti di situ sahaja. Di Kuala Kangsar ini pun tinggal tidak lebih 20 orang yang boleh menghasilkan golok,” katanya.

Sementara itu, Amir Saifudin Ngah, 53, berkata pembuatan golok memerlukan modal yang besar, namun boleh memperoleh keuntungan yang lumayan sekiranya mendapat banyak permintaan daripada pelanggan.

“Kalau kita jual terus kepada pelanggan lebih untung berbanding kita jual secara borong di kedai-kedai kraftangan. Saya juga hantar 10 hingga 20 bilah ke kedai di pekan untuk dijual kepada pelancong,” katanya.

Beliau berkata pembuatan golok bermula dengan mencari besi terbaik untuk dibakar dan ditempa serta penggunaan kayu yang keras dan berkualiti seperti kayu Surian, Akasia, Petai Jawa dan Kemuning.

“Kalau nak hasilkan bilah boleh ambil masa sehingga sejam tidak termasuk pembuatan sarung dan hulu golok,” katanya yang pernah menyertai pameran Hari Kraf Kebangsaan 2014.

Menurutnya, generasi muda kini kurang berminat dengan kerja warisan itu mungkin disebabkan mereka melihat kerja sebagai tukang golok sesuatu yang susah.

Bagi seorang bekas pembuat golok Sepian Abdullah, 75, beliau telah menghasilkan golok sejak 1958 selepas tamat persekolahan sehingga 2010.

“Memang terkenal golok ini, kadang-kadang pelajar sekolah dan universiti datang berjumpa saya untuk mengetahui sejarah golok ini,” katanya yang mempunyai sebuah bengkel di Padang Changkat, hasil bantuan kerajaan pada 2003.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *