Barcelona memastikan gelaran juara La Liga 2015-2016 sekali lagi apabila menewaskan Granada 3-0 dalam perlawanan terakhir saingan La Liga di Estadio Nuevo Los Carmenes, awal pagi Ahad.

Luis Suarez menjadi wira dalam kemenangan ini apabila mencipta hatrik dengan gol yang dihasilkannya pada minit ke-22, ke-38 dan ke-86.

Penyerang Uruguay itu juga menjadi penjaring terbanyak La Liga musim ini dengan 40 gol.

Barcelona mantap di puncak carta La Liga dengan memperolehi 91 mata, satu mata di depan Real Madrid (90 mata) di posisi kedua.

Sementara itu, dalam perlawanan yang diadakan serentak, Real Madrid juga meraih kemenangan 2-0 atas Deportivo La Coruna. Namun, keputusan itu tidak memberikan sebarang makna kerana Barcelona juga meraih kemenangan. Madrid terpaksa berpuas hati mengakhiri saingan liga musim ini di posisi kedua.

Kemenangan Barcelona musim ini menunjukkan pasukan ini terus mempertahankan kuasanya di La Liga apabila turut menjulang gelaran juara pada musim lepas.

Gelaran La Liga kali ini merupakan yang ke-24 bagi Barca.

Dalam pada itu jurulatih Barca Luis Enrique menilai bahawa pasukannya sudah melalui saat-saat getir dan mencabar dan mengajak semua penyokong meraikan kemenangan ini.
“Kami bermain sangat baik di sepanjang musim ini, kami sudah bertahan di puncak liga sejak lama dan menjadi pasukan paling konsisten untuk mengejar gelaran juara,” kata Enrique di Sport.

“Saya sangat gembira untuk semua penyokong Barca, untuk keluarga kami dan juga kelab. Ada individu yang begitu menderita dalam masa tertentu sebelum ini dan sekarang kami ingin menang trofi lain musim depan.”

“Saya akan mengingati saat-saat kegembiraan ini dan mereka yang menyokong kami di saat-saat kami berdepan keadaan sukar.

“Para penyokong masih bersama kami, walaupun banyak perkara berlaku dalam beberapa perlawanan. Jadi, saya ajak seluruh penyokong untuk keluar dari rumah dan meraikan gelaran juara ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *