Geng Amir Rais yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dan curi motosikal di sekitar Bagan Datoh tumpas apabila tujuh anggota kumpulan termasuk ketua kumpulannya ditahan dalam Ops Pintu pada Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Hilir Pera,k ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata kesemua suspek yang berusia 24 hingga 30 tahun itu didapati aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan curi motosikal sejak beberapa bulan lalu.

Katanya polis menahan empat lelaki bersama-sama dalam sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Hutan Melintang pada 12.15 tengah malam semalam sebelum membawa kepada tangkapan susulan tiga lagi lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia di Bagan Datoh pada hari yang sama.

“Sewaktu penahanan empat lelaki itu, kita telah menjumpai alat-alat yang disyaki digunakan untuk pecah rumah, wang tunai berjumlah RM2,238, tiga buah telefon bimbit serta beberapa paket kecil dadah. Kita turut menyita kereta yang digunakan mereka.

“Malah semakan urin mendapati kesemuanya positif dadah,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Wan Hassan berkata ketua kumpulan geng itu yang didapati pengedar dadah kecil-kecilan di kawasan itu sering kali masuk keluar lokap dan mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kes pecah rumah.

Katanya susulan penahanan ketujuh-tujuh suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah dan dua kes curi motosikal setakat ini berikutan beberapa suspek telah membuat pengakuan.

“Kita masih memburu saki baki kumpulan itu dan modus operandi mereka ialah memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni,” katanya.

Kesemua mereka kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah serta disiasat dibawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *