KAJANG, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada penerima darjah kebesaran supaya tidak menyalahgunakan gelaran untuk melanggar undang-undang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, gelaran yang diterima bukan ‘lesen’ untuk melanggar peraturan termasuk melakukan kekasaran terhadap orang lain.

“Merujuk kepada kejadian Datuk Seri menumbuk pegawai RELA, saya ingin nyatakan bahawa seesiapa juga dalam kalangan rakyat sama ada mempunyai gelaran atau tidak, tertakluk kepada perundangan negara.

“Gelaran bukan lesen untuk mengizinkan tindakan kekasaran kepada mana-mana rakyat Malaysia, apatah lagi anggota petugas berpakaian seragam.

“Walaupun individu terbabit belum ditangkap, kita tahu siapa dia dan di mana dia. Sebelum ditangkap eloklah dia mara menyerah diri.

“Ini amaran kepada orang lain. Kononnya apabila ada gelaran, undang-undang terletak di tangan sendiri seolah-olah undang-undang di tangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Stadium Mini Maktab Penjara, hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan isteri, Datin Rossana Jaafar serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Mengulas prosedur pengambilan pembantu rumah yang boleh dibuat secara sendiri seperti diumumkan dalam Bajet 2018, Ahmad Zahid berkata, ia tetap tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan sebelum ini.

“Peraturan sedia ada seperti pengecaman biometrik, biomedik dan semakan senarai syak, pemeriksaan tahap kesihatan menerusi Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) tetap dikuatkuasakan,” katanya.

Berhubung dakwaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang Bajet 2018 meniru bajet kerajaan pembangkang itu, Timbalan Perdana Menteri meminta Menteri Besar Selangor itu membahasnya di Parlimen.

Ahmad Zahid juga berkata, kerajaan ikhlas meringankan beban rakyat apabila mengumumkan pemansuhan bayaran tol di Selangor, Johor dan Kedah.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *