Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) perlu menghasilkan lebih banyak karya penulisan dan sastera berbentuk futuristik yang boleh menggambarkan bentuk politik dan budaya negara di masa hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia penting untuk memberi gambaran kepada generasi hari ini bagaimanakah keadaan negara selepas tahun 2020 ataupun setelah negara mencapai usia kemerdekaan 100 tahun pada 2057.

“Penulisan dan sastera seperti puisi dapat melihat masa hadapan dengan mata hati, bagaimana keadaan negara selepas tahun 2020 dan tahun 2057 selepas 100 tahun nikmat kemerdekaan,” katanya ketika berucap pada majlis sepetang penulis bersama Timbalan Perdana Menteri di Rumah Gapena di sini hari Ahad.

Ahmad Zahid berkata selain itu karyawan Gapena juga perlu menekankan kepentingan komunikasi tanpa lisan untuk mengatasi komunikasi lisan.

Menurutnya penyampaian masej dalam bentuk penulisan bukan sahaja membolehkan kita melihat masa yang lalu malah juga apa yang akan berlaku di masa hadapan.

Ahmad Zahid berkata karya di masa hadapan juga perlu disesuaikan dengan perubahan teknologi kerana zaman telah berubah dan akan terus berubah di masa hadapan.

Menurutnya teknologi tidak seharusnya menjadi pemisah usaha untuk mengembangkan karya penulisan serta sastera sebaliknya golongan karyawan perlu mendekatkan diri mereka dengan perubahan teknologi itu agar lebih serasi.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid juga mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM5 juta kepada Gapena untuk membolehkan ia melaksanakan program penulisan dan kesusasteraan selain untuk menambah infrastruktur di Rumah Gapena termasuk pembinaan pagar baharu.

Pada majlis yang sama beliau turut melancarkan sembilan penerbitan buku yang dihasilkan anggota Gapena.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *