Tindakan PAS untuk menamatkan kerjasama dengan PKR membuktikan formula politik pembangkang yang berasaskan kepada mengambil peluang berdasarkan politik kebencian dan “musuh bersama” sebagai suatu yang amat rapuh.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata formula itu perlu dielakkan di negara ini kerana kestabilan merupakan perkara paling utama diperlukan rakyat, selain sebuah kerajaan yang mampu untuk mengotakan janji dan mentadbir secara baik.

Formula itu bukan formula yang mampan untuk memberi pembelaan kepada rakyat dan kita telah melihatnya berlaku berkali-kali (berlaku dalam pembangkang). Formula pembangkang adalah formula yang amat rapuh.

Kalau tiada kestabilan ertinya mereka tidak boleh melaksanakannya. Mereka (pembangkang) terus mencari-cari satu formula dalam hubungan dan politik mereka,” katanya semasa ditemui selepas menghadiri program Ceramah Rakyat Parlimen Temerloh yang bertemakan ‘Negaraku Generasiku’ di Mentakab di sini, Jumaat malam.

Anggota Parlimen Ketereh itu berkata demikian semasa diminta mengulas keputusan Muktamar Dewan Ulama PAS kelmarin, yang meluluskan tanpa bahas usul untuk memutuskan ‘tahaluf siyasi’ (kerjasama politik) dengan PKR.

Annuar juga melihat keputusan itu akan membawa perubahan kepada landskap politik negara kerana PAS menjadi ‘kuasa ketiga’ selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan kerana perlu bergerak sendirian selepas memutuskan hubungan dengan sekutu mereka sebelum ini, iaitu DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Annuar juga menyelar tindakan sesetengah pemimpin pembangkang mengkritik tindakan PAS itu kerana menyifatkan mereka seharusnya menghormati pendirian PAS memandangkan setiap parti politik berhak membuat keputusan sendiri.

Mereka (PAS) tentukan keputusan itu dalam kongres mereka, muktamar yang melibatkan pimpinan tertinggi mereka. PAS juga seperti parti lain ada hak-hak sendiri dan pada saya ia harus dihormati, ” katanya.

Annuar menambah Barisan Nasional (BN) dan UMNO juga tidak seharusnya berasa selesa dengan perkembangan itu, sebaliknya perlu melipatgandakan usaha memberi penerangan kepada rakyat agar mereka tidak termakan dengan dakyah pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Kita cuma akan lihat apa yang akan berlaku…harap ia akan membawa kebaikan kepada rakyat dan seterusnya membawa kestabilan negara. BN dan UMNO jangan alpa kerana kita perlu rapat dengan rakyat,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *