PUTRAJAYA, Semua kementerian dan agensi kerajaan mesti memberi komitmen penuh kepada pelaksanaan dasar persekitaran hidup sihat bagi menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun Kementerian Kesihatan menerima peruntukan RM27 bilion daripada Bajet 2018, jumlah itu belum dapat menampung pengurusan NCD untuk jangka masa panjang, sekiranya langkah pencegahan penyakit kronik itu tidak dilaksana.

“Beban penyakit NCD dibincangkan dalam mesyuarat ini menunjukkan trend peningkatan bagi penyakit NCD seperti diabetes, hipentensi, hiperkolesterolemia dan obesiti serta meningkatkan kos rawatan penyakit.

“Peningkatan kos rawatan di hospital dan klinik swasta menyebabkan rakyat beralih kepada fasiliti kerajaan.

“Kerajaan boleh membina jumlah hospital yang lebih banyak dan meningkatkan jumlah fasiliti dan anggota kesihatan, tetapi tanpa usaha membangunkan dasar ke arah persekitaran hidup sihat dan peranan aktif kementerian dan agensi, mustahil untuk mencegah penyakit NCD dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Ke Arah Persekitaran Hidup Sihat (JKPHS) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat JKPHS satu-satunya jawatankuasa yang bertindak sebagai medan bagi membincangkan dan mengenal pasti tindakan susulan bagi menangani NCD.

“JKPHS hari ini memfokuskan kepada pelaksanaan dasar ke arah persekitaran hidup sihat yang sudah dipersetujui di peringkat mesyuarat Jemaah Menteri dan usaha pencegahan NCD.

“Sebanyak 13 polisi ke arah persekitaran hidup sihat sudah dibincangkan bagi status pelaksanaan setiap dasar untuk tempoh 2018 hingga 2019,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan intervensi dalam kalangan kanak-kanak terutama di peringkat sekolah menjadi keutamaan bagi memupuk gaya hidup aktif dan pemakanan yang sihat supaya terus menjadi budaya hidup hingga dewasa.

“Langkah ini wajib dilaksanakan kerana perubahan tingkah laku dan pembudayaan gaya hidup sihat bermula daripada awal usia kanak-kanak bagi mewujudkan rakyat Malaysia yang sihat dan produktiviti tinggi,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *