Kelab Serie B Itali, FC Bari 1908 sedia untuk menawarkan pengalaman Eropah kepada pemain muda dan sedang meningkat dari Malaysia melalui kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), kata presidennya Gianluca Paparesta.

“Langkah pertama kami ialah kami akan menubuhkan sebuah akademi untuk pemain-pemain muda. Ia boleh merapatkan Malaysia dan Eropah melalui bola sepak,”kata Paparesta pada sidang media di sini hari ini.

Paparesta dan ahli perniagaan Malaysia, Datuk Dr Noordin Ahmad, yang baru-baru ini mendapat liputan antarabangsa selepas membeli kepentingan besar dalam kelab bola sepak Itali itu, menemui Presiden KAFA Tan Sri Anuar Musa di Bangunan MARA, di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama dengan KAFA ialah langkah pertama sebelum melebarkan sayap ke kelab-kelab bola sepak yang lain di Malaysia dan pasukan kebangsaan.

“Sekarang saya di sini untuk membina hubungan yang lebih kukuh dengan Dr Noordin dan dengan Malaysia. Untuk FC Bari, ia sangat penting untuk memulakan projek ini secepat mungkin,” kata beliau.

Menurut beliau, akademi itu ditubuhkan untuk melatih pemain muda dan akan menyediakan mereka untuk kerjaya dalam liga bola sepak antarabangsa.

Paparesta juga berkata melalui kerjasama tersebut, FC Bari akan merancang beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan Malaysia di sini dan di Itali.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *