Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk menjadi badan multinasional bagi memasarkan produk agro makanan dan pertanian peringkat global menjelang 2050.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata melalui perancangan Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017, agenda itu pasti dapat dicapai bagi memperkasa golongan petani dengan kaedah pertanian moden supaya dapat bersaing setanding dengan petani di negara maju.

Beliau juga yakin melalui pertanian moden, negara akan dapat mengeluarkan jumlah hasil yang banyak dan tidak lagi perlu mengimport bekalan makanan, sebaliknya berbekalkan teknologi dan kepakaran bidang pertanian moden, Malaysia boleh menjadi antara pengeksport utama makanan dunia.

“Generasi muda harus membuka minda dan menyahut seruan untuk mengusahakan pertanian moden dengan menerima segala perubahan yang dilakukan kerajaan dalam strategi meningkat mutu serta produktiviti sektor pengeluaran makanan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang 2017 di sini bersama Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak.

Seramai 233 orang pegawai dan kakitangan menerima anugerah kali ini sebagai menghargai kecemerlangan mereka sepanjang berkhidmat dengan FAMA pada majlis hari ini, yang turut meraikan 64 pegawai dan kakitangan FAMA yang akan bersara.

Tajuddin berkata, generasi muda mungkin tidak jelas dengan program berkenaan, sekali gus mendorong kerajaan mewujudkan Myagrosis dalam kalangan siswazah di mana mereka disediakan bantuan dari awal sehingga mereka berjaya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan FAMA akan mewujudkan projek pasar tani baharu di masjid bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan memasarkan barangan jualan berhampiran lokasi yang strategik.

Katanya, setakat ini empat pasar tani masjid sudah diwujudkan iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Jelas beliau, program itu akan diperluaskan ke seluruh negara dan menjelang hujung tahun ini, FAMA akan mewujudkan dua buah pasar tani masjid di setiap negeri.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *