Share on Facebook

KOTA KINABALU, Seorang pembantu menteri Sabah mempersoalkan statistik dipetik oleh Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung pendapatan negeri, menyatakan Mohd Shafie telah memetik angka tidak tepat.

Pembantu Menteri Kewangan Datuk Ramlee Marahaban berkata Mohd Shafie salah apabila beliau menyatakan pendapatan kerajaan Sabah pada 1978 adalah hampir sama dengan pendapatan diunjurkan dalam Bajet 2018 iaitu RM4.1 bilion.

Beliau berkata dakwaan Mohd Shafie bahawa pendapatan kerajaan Sabah kekal lembap sejak 40 tahun lepas pada RM4 bilion bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Semakan dengan jabatan arkib Menteri Kewangan Sabah menunjukkan pendapatan negeri pada 1978 adalah RM479,027,790 dan geran persekutuan, sumbangan dan bayaran balik adalah sebanyak RM45,790,248, dengan itu menjadikan jumlah pendapatan sebanyak RM524,818,038 bagi tahun itu.

“Saya mempunyai sejarah rekod untuk membuktikannya. Jadi, dari mana Shafie Apdal dan bekas ketua akauntan negeri (Tan Sri) Ibrahim Menudin mendapat angka pendapatan lebih RM4 bilion bagi tahun 1978?” soalnya.

Mohd Shafie, menerusi penerbitan dalam talian baru-baru ini, didakwa memperlekehkan bajet kerajaan Sabah bagi 2018 sebagai “nothing great” (tiada yang hebat) dan berkata beliau langsung tidak kagum dan rakyat juga tidak perlu berasa kagum.

Beliau berkata dakwaan Mohd Shafie bahawa pendapatan negeri lebih RM4 bilion pada 1978 adalah aneh dengan mengambil kira pendapatan kerajaan persekutuan pada 1981, hanya tiga tahun selepas 1978, hanya lebih RM6 bilion.

“Terdapat sejarah rekod dalam arkib yang anda tidak boleh pertikaikan. Beliau sama ada tidak buat kerja rumah atau sengaja cuba memperdayakan rakyat, terutamanya mereka di kawasan luar bandar,” katanya.

Ramlee, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bugaya, berkata pentadbiran negeri Sabah ketika ini telah berjaya meningkatkan ekonomi negeri lebih 10 kali ganda dalam 40 tahun selepas pentadbiran kerajaan Berjaya.

Katanya Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman telah mencatatkan kejayaan cemerlang, dengan pendapatan negeri meningkat daripada RM1.24 bilion pada 2001 kepada RM1.56 bilion pada 2003, kepada RM2.33 bilion pada 2008, kepada RM3.69 billon pada 2012 dan melepasi paras RM4-bilion iaitu RM4.58 bilion pada 2014.

Beliau juga berkata bagi tempoh empat tahun lepas, bajet negeri secara konsisten kekal pada paras hampir RM4-bilion.

“Lagipun, perlu diberi perhatian bahawa kewangan negeri Sabah di bawah pentadbiran Musa telah mencatatkan akaun lebihan selama 16 tahun berturut-turut. Jadi, sila beri pujian apabila pujian perlu dan wajar diberikan,” katanya.

Ramlee mengingatkan rakyat supaya berwaspada dengan mereka yang sanggup berbuat apa sahaja untuk cuba dan mengubah sejarah demi kepentingan agenda peribadi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *