SHAH ALAM, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa umat Islam untuk mengelak daripada terlalu meraikan perbezaan pendapat yang dianggap kecil, terutama ketika berada di masjid sehingga mengundang perpecahan dalam kalangan mereka.

Sebaliknya beliau berkata masyarakat Islam, perlu sentiasa berpegang kepada tiga prinsip iaitu penyatuan akal, hati dan tindakan yang menurutnya mampu menterjemah peribadi masyarakat Islam yang lebih baik.

“Dalam penyatuan pemikiran saya faham walau ada pelbagai ‘warna-warna’ yang kita minat, tapi demi Islam dan keturunan, kita ketepikan perbezaan.

“Prinsip kedua mesti ada penyatuan hati dalam kalangan kita, kalau pemikiran bersatu, tetapi hati tidak, seolah-olah ada keterpaksaan antara kita.

“Prinsip ketiga mesti ada penyatuan daripada tindakan dan perbuatan dalam menterjemah pemikiran kita untuk kita lakukan sesuatu dalam membentuk sesebuah negara yang aman damai,” katanya dalam ucapan ringkas di jamuan moreh selepas menunaikan solat tarawih berjemaah di Masjid Kota Damansara, di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat.

Ahmad Zahid turut mengumumkan akan berusaha mendapatkan dana bagi menaik taraf masjid berkenaan, antara lain memerlukan sebuah kuarters kakitangan yang baharu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *