Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Pasukan Liga Malaysia (Liga M) diingatkan tidak ‘silap langkah’ dalam menandatangani pemain import bagi menghadapi saingan musim depan.

Pengarah Urusan Action Football Asia, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan semua pasukan perlu membuat kajian atau pemantauan terperinci terlebih dahulu sebelum mengikat pemain import bagi mengelak berdepan masalah prestasi.

Katanya, ia susulan terdapat banyak kes dalam Liga M sebelum ini yang menyaksikan pemain import ditandatangani bergelut dalam memberikan persembahan konsisten selain mengalami masalah kecederaan serius hingga terpaksa digugurkan.

“Pasukan perlu buat kajian atau analisis sebelum ejen tawarkan pemain. Contohnya penyerang, kita perlu lihat semua termasuk berapa musim dia beraksi dan berapa purata gol yang dijaringkan.

“Paling penting perlu semak adakah pemain itu pernah mengalami kecederaan serius sebelum ini, ia bagi mengelak berlaku masalah pemain itu mendapat kecederaan kembali.

“Bayangkan jika pemain itu mengalami kecederaan selepas ditandatangani, pasukan perlukan menanggung kos yang besar untuk menyingkirkan pemain terbabit dan mendapatkan pemain baharu, jadi ia merugikan,” katanya yang sudah 15 tahun bertindak sebagai ejen pemain.

Selain itu, Effendi turut mendedahkan terdapat beberapa kaedah yang digunakan pasukan Liga M untuk menandatangani pemain import.

Katanya, cara paling popular yang digunakan pasukan di negara ini dengan menguji pemain itu terlebih dahulu terutama dengan mengadakan perlawanan persahabatan.

“Ada pemain yang diuji sekurang-kurangnya tiga perlawanan kemudian diikat pasukan berkenaan. Tapi ada pemain yang selepas diikat, satu musim tak dapat jaringkan gol, ia kerana pemain itu tiada rekod konsisten dalam persembahannya.

“Ada juga pemain import yang tidak diuji dan terus diikat pasukan, biasanya pemain ini sudah mempunyai nama dan beraksi di liga lebih tinggi selain harganya juga mahal.

“Tapi, penggunaan kedua-dua cara ini tidak boleh lari daripada pasukan membuat analisa terlebih dahulu terhadap pemain untuk memastikan tindakan menandatanganinya benar-benar berbaloi,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *