Kaedah pengundian dalam talian (e-voting) untuk pilihan raya boleh dilaksanakan di negara ini dengan penyediaan sistem keselamatan canggih seperti imbasan ibu jari dan anak mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, berkata dengan adanya ciri keselamatan teknologi biometrik itu, tidak akan timbul pertikaian mengenai kesahihan pilihan raya yang diadakan.

Katanya, paling penting, penggunaan e-voting itu akan menjimatkan masa dan membabitkan lebih ramai pengundi untuk pilihan raya kerana ia boleh dilakukan di rumah atau pejabat.

“Sudah banyak negara yang bertukar kepada e-voting ini dan terbaharu, Thailand mahu melaksanakannya,” katanya.

Beliau mengulas mengenai cadangan Pengerusi Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS), Tan Sri Rastam Isa supaya Malaysia memikirkan kaedah melaksanakan pengundian dalam talian.

Pada Persidangan Serantau Mengenai Demokrasi di Asia Tenggara, anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Yayasan Kofi Annan, semalam, Rastam berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersedia mengendali dan menerima sistem pengundian baharu itu.

Seng Kuan berkata, Malaysia mampu melaksanakan sistem e-voting, namun terpulang kepada SPR sama ada bersedia atau tidak.

“Jika kita bercakap mengenai teknologi, saya percaya kita sudah terkehadapan dan mempunyai infrastruktur yang boleh melaksanakannya,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *