SUBANG JAYA, Dua individu masing-masing kerugian RM30,000 dan RM26,392 selepas ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai bank, pada 13 dan 14 Oktober lalu.

Kes pertama membabitkan seorang pengurus operasi yang diperdaya untuk memindahkan RM30,000 ke dalam akaun suspek kononnya bagi tujuan keselamatan.

Mangsa sebelum itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank, memaklumkan dia ada membuat pendaftaran kad kredit dan mahukan pengesahan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata mangsa yang juga seorang wanita menafikan dia ada membuat pendaftaran kad kredit dan diminta oleh suspek untuk membuat laporan polis.

Katanya, mangsa kemudian disambungkan ke satu nombor kononnya dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau.

“Individu dalam talian itu memaklumkan kepada mangsa untuk mengosongkan akaun bagi tujuan keselamatan dan perlu memindahkan wang ke akaun Bank Negara yang diberikan.

“Mangsa yang terpedaya kemudian melakukan transaksi pemindahan wang dari akaunnya ke akaun suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang curiga kemudian merujuk perkara itu dengan pihak bank dan dimaklumkan oleh pegawai bertugas bahawa dia sudah ditipu.

Sementara itu, dalam satu lagi kes pada 14 Oktober lalu, Mohammad Azlin, berkata seorang suri rumah mendakwa menerima panggilan daripada pihak bank yang memaklumkan dia mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM3,375.

“Mangsa menafikan memiliki kad kredit. ‘Pegawai bank’ itu kemudian meminta mangsa membuat laporan polis di IPD Tawau atau melalui talian atas alasan kemungkinan ada pihak lain yang menggunakan maklumat peribadinya bagi tujuan itu.

“Disebabkan berada jauh dari Tawau, mangsa memilih untuk membuat laporan melalui talian sebelum disambungkan ke satu nombor.

“‘Anggota polis’ yang bercakap dengan mangsa meminta dia tidak berada dekat dengan pihak ketiga, kononnya mengganggu siasatan. Suspek kemudian meminta maklumat akaun mangsa dan jumlah yang ada di dalamnya,” katanya.

Beliau berkata, seterusnya mangsa diminta untuk memindahkan semua wang berkenaan bagi tujuan keselamatan dan mendakwa Bank Negara akan mengeluarkan surat untuk mangsa tandatangan sebelum melakukan pemulangan semula wang.

Katanya, mangsa yang percaya dengan helah sindiket itu meminta suaminya memindahkan semua wang di dalam akaun berjumlah RM26,392.02 sebelum menyedari ditipu.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *