Kerajaan bakal mewujudkan dua lagi terminal iaitu Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dan Terminal Bersepadu Sungai Buloh (TBSB) yang dijangka siap menjelang 2020.

Menurut laporan Perjalanan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (PTPAD) 2010-2015, inisiatif tersebut bertujuan menampung kapasiti terminal sedia ada yang semakin sesak berikutan permintaan yang tinggi, sejajar dengan hasil peluasan rangkaian pengakutan awam darat di sekitar Greater Kuala Lumpur.

Pembinaan TBG dan TBSB akan dibangun dan dikendalikan oleh pihak swasta berbeza dengan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Menurut PTPAD, kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan turut menambah kira-kira 30 kemudahan Park  and  Ride menjelang 2019 di kawasan berkepadatan tinggi di sekitar bandar.

SPAD juga bakal melancarkan Aplikasi Perancang Perjalanan menjelang akhir tahun ini serta melaksanakan sistem pembayaran umum bersepadu (ICPS) pada 2018 yang akan menggantikan kad baharu seakan-akan MyRapid.

Menurut laporan PTPAD, ICPS yang kan menyeragamkan sistem tambang yang lebih lancar dan murah daripada operator berbeza turut dilaksanakan terhadap pengguna Park  and  Ride yang melaluinya, pembayaran transit dapat dibuat di pintu-pintu masuk menerusi kad ATM dan debit baharu.

Laporan PTPAD dikeluarkan sempena Simposium Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2016 dan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *