Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar menyatakan pendiriannya sama ada tindakannya memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari UMNO dan kerajaan pada tahun 1998 adalah betul atau tidak.

Ini kerana kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, rakyat Malaysia ingin tahu perkara sebenar selain keliru mengenai tindakannya itu dahulu dan sekarang.

Katanya, ahli UMNO dahulu diajar dan disuruh percaya bahawa Anwar adalah tidak bermoral dan tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana melakukan perbuatan tidak bermoral.

“Tetapi sekarang ini, beliau (Dr Mahathir) berkempen supaya Anwar boleh menjadi Perdana Menteri dan sudah tiada isu moral dan sebagainya.

“Jadi orang keliru adakah tindakan Dr Mahathir dulu dulu adalah tindakan politik dan konspirasi untuk menjatuhkan Anwar seperti yang sering disebut oleh Anwar sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar koperasi pekebun kecil dan mesyuarat agung tahunan Koperasi Pekebun Kecil Getah Nasional Bhd (NARSCO) ke-33 di sini, sebentar tadi.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyesal menyokong pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Ismail yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, mungkin ramai ahli UMNO berasa kecewa memilih Dr Mahathir sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri jika mengetahui sikapnya hari ini.

“Sebenarnya, pemilihan Najib adalah berdasarkan kriteria yang sudah memenuhi keperluan untuk menjadi Perdana Menteri dan disokong oleh orang UMNO sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pembayaran dividen sebanyak lima peratus berjumlah RM80,160 kepada 64 buah koperasi yang bernaung di bawah NARSCO membabitkan 146,955 ahli.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *