IPOH, Dialog Pangkor menyumbang kepada perkongsian penggunaan maklumat dalaman ke arah penyelesaian cabaran sejagat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perhimpunan berskala besar itu membabitkan pelbagai tokoh, pakar, ahli akademik serta pelabur dari serata dunia, membolehkan pertukaran ilmu pengetahuan dan memberi inspirasi kepada pertumbuhan ekonomi mapan bagi rantau ini sejajar Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).

Katanya, beliau yakin hasil dan dapatan daripada penganjurannya menyediakan tindakan dan cadangan berkesan bagi manfaat pihak berkepentingan dari seluruh dunia, khususnya bagaimana pembangunan dilaksanakan tanpa terlalu berlebih-lebihan.

“Penyertaan pertama UNDP (Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dalam dialog ini satu pengiktirafan pentingnya rangkaian pembangunan global bagi pertumbuhan antarabangsa.

“Menyokong perubahan dan menghubungkan negara dengan pengetahuan, pengalaman dan sumber adalah antara saluran terbaik dalam membantu dunia untuk membina kehidupan lebih baik,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Anugerah Dialog Pangkor 2017 yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini, malam ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Perak dan Zambry, Ahmad Zahid berkata, dialog antarabangsa dianjurkan kerajaan negeri melalui Institut Darul Ridzuan (IDR) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan UNDP itu unik iaitu dalam erti kata ia satu daripada beberapa dialog di dunia diperkenalkan oleh sebuah kerajaan negeri, malah mula mendapat perhatian dunia bagi bidang pembangunan dan pertumbuhan mapan.

Katanya, beliau yakin satu ketika nanti dialog yang kini diadakan di bandar raya dapat diadakan di Pulau Pangkor sendiri sekali gus menjadi tempat pemimpin dan pelabur dunia berkumpul secara santai sambil membincangkan pelbagai perkara berkaitan.

Beliau berkata, Pangkor penting dari segi sejarah kerana di situ Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874 yang menandakan bermulanya campur tangan British dalam dasar pentadbiran negeri-negeri Melayu, seterusnya mencetuskan perjuangan rakyat tempatan untuk memerdekakan negara yang akhirnya tercapai pada tahun 1957.

Beliau kemudian turut menyampaikan 10 Anugerah Dialog Pangkor iaitu Anugerah Ikon Perpaduan Kebangsaan kepada mendiang Tun V T Sambanthan dan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik (Anugerah Ikon Pembangunan Kebangsaan).

Penerima lain, Tan Sri Dr Kamal Salih (Anugerah Ikon Ahli Ekonomi Berwawasan), Datuk Mohammad Nor Khalid (Anugerah Ikon Inspirasi Kebudayaan), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali (Anugerah Ikon Perak Amanjaya), Dr Anil K Gupta (Anugerah Ikon Inovasi Sosial), Jorge Jamil Mahuad Witt (Anugerah Ikon Kepemimpinan Sepanjang Hayat) dan Dr Catherine Grace Coleman (Anugerah Ikon Wanita Dalam Sains).

Dua lagi ahli sukan negara, Cheong Jun Hoong dan Leong Mun Yee masing-masing menerima Anugerah Ikon Belia Contoh.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Penganjuran Acara Paling Banyak Dalam Seminggu membabitkan Temasya Idea Perak atau Perak Festival of Ideas (PFoI) yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong kepada Zambry.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *