Bantahan di sepanjang sempadan Gaza dengan Israel reda selepas hari terburuk dalam konflik selama bertahun, namun kedua-dua pihak bersedia untuk ketegangan lanjut semalam selepas Hamas menggesa lebih banyak demonstrasi.

Angka kematian akibat keganasan Jumaat lalu di sepanjang sempadan antara Semenanjung Gaza dan Israel meningkat 17 semalam apabila Kementerian Kesihatan di wilayah terkepung itu mengesahkan seorang lagi rakyat Palestin maut akibat kecederaannya.

Kumpulan pejuang, Islamik Jihad dalam satu kenyataan berkata, anggotanya, Faris al-Raqib, 29, tidak membawa senjata ketika ditembak.

Dalam satu gambar sebelum cedera, Raqib dilihat menarik mangsa yang cedera jauh daripada pertembungan.

Ratusan penduduk Palestin lagi cedera, kebanyakannya akibat ditembak tentera Israel apabila bantahan besar-besaran disertai puluhan ribu penduduk menjurus pertembungan dengan rejim Zionis di sepanjang sempadan Gaza.

Angka kematian itu menyebabkan Kesatuan Eropah (EU) dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa siasatan bebas, namun ditolak mentah-mentah Israel.

Kumpulan penunjuk perasaan lebih besar mungkin kembali beberapa hari lagi termasuk selepas solat Jumaat.

Hamas, pergerakan Islam yang mentadbir Semenanjung Gaza menggesa lebih banyak bantahan besar-besaran diadakan.

“Penduduk Palestin akan tetap meneruskan ‘Perarakan Kepulangan’ bagi membebaskan tanah mereka, bergerak ke arah Baitulmaqdis yang diduduki dan mereka tidak bimbang dengan semua pengorbanan,” kata anggota kanan Hamas, Khalil al-Hayya dalam upacara peringatan, berikrar kumpulan itu tidak akan meletak senjata.

Kawasan sempadan agak sepi pagi semalam, namun khemah didirikan untuk bantahan kekal.

Sebagai tambahan kepada 17 yang maut, lebih 1,400 cedera, 757 akibat terkena peluru hidup dengan bakinya cedera akibat peluru getah dan menyedut gas pemedih mata, kata kementerian di Gaza.

Video tidak disahkan dikongsi dalam talian mencetuskan perdebatan termasuk satu yang jelas menunjukkan seorang penunjuk perasaan berlari dengan tayar, ditembak, walaupun tidak memberi ancaman.

Bantahan Gaza dirancang selama enam minggu, tamat sekitar masa kedutaan Amerika Syarikat dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pertengahan Mei ini. -AFP

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *