KUALA LUMPUR, Gabungan parti-parti pembangkang yang diketuai DAP sanggup mengetepikan ‘kerakusan’ 22 tahun pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad demi mendapatkan dana gerakan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Menurut bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mempunyai jaringan kuat untuk mendapatkan dana bagi menggerakkan jentera PRU-14 bagi Pakatan Harapan yang diketuai DAP.
Malah ujarnya, pemberian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang banyak berbanding DAP, PKR dan PAN selain dicalonkan sebagai Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan adalah sebagai umpan untuk Dr. Mahathir mendapatkan dana bagi pilihan raya.
“Pakatan Harapan sebenarnya mengharapkan keupayaan Dr. Mahathir mendapatkan dana dan bukan disebabkan kepemimpinan serta kebijaksanaannya sebagai seorang cendekiawan.
“Dahulu mereka tentang kerakusan Dr. Mahathir, tetapi sekarang pujanya kerana faktor kewangan untuk menghadapi PRU-14,” katanya ketika ditemui wartawan mhonline hari ini.
Fakhrul Azman berkata demikian susulan tindakan yang dilakukan Pakatan Harapan seolah-olah melakukan pusingan U dalam hal ehwal calon Perdana Menteri termasuk polisi cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta pelaksanaan tol.
Menurut beliau, selain pemilihan Perdana Menteri, gabungan pembangkang juga sering menggunakan gimik atau helah menjelang PRU seperti yang dilakukan Dr. Mahathir apabila beliau tiba-tiba mahu menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah dipenjarakannya dahulu.
“Dahulu mereka gunakan mahasiswa sebagai gimik, kononnya golongan yang lantang bersuara itu diambil tindakan dan kemudian menagih simpati rakyat kononnya kerajaan serta pihak berkuasa zalim. Kini, perkara itu beralih pula pada artis tanah air,” jelasnya.
Sementara itu, bekas ahli DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman menyifatkan, kerjasama dalam Pakatan Harapan sekarang adalah dalam erti kata bersetuju dalam tidak.
Ini kerana ujarnya, walaupun Dr. Mahathir dicalonkan sebagai Perdana Menteri sementara namun akar umbi Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan cadangan itu malah DAP hanya bersetuju disebabkan mahu mendapatkan undi daripada kaum Melayu sahaja.
“Sebenarnya DAP yang paling banyak kerusi. Kita kena ingat, jika dicampur kerusi DAP dan PAN, jumlahnya melebihi PKR dan PPBM kerana PAN adalah proksi DAP,” katanya.
Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share