CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group) mencatat untung bersih RM2.28 bilion bagi tempoh separuh pertama (1H) berakhir 30 Jun 2017, meningkat 35.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia adalah prestasi separuh tahun terbaik kumpulan itu, dan sekiranya momentum itu berupaya dikekalkan pada separuh kedua tahun ini, kumpulan itu berada di landasan kukuh untuk mencatat rekod tahun kewangan terbaik setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata pendapatan operasi dalam tempoh dikaji berkembang 13.9 peratus tahun-ke-tahun kepada RM8.69 bilion disumbang sebahagian besarnya oleh pertumbuhan 15.9 peratus dalam pendapatan bukan faedah selari aktiviti pasaran modal yang lebih baik.

“Kami gembira dengan keputusan separuh pertama 2017, khususnya peningkatan untung bersih 35.3 peratus tahun-ke-tahun, nisbah Pendapatan-kepada-Kos yang lebih rendah 52.5 peratus dan pengukuhan nisbah ‘Common Equity Tier 1’ (CET1) 11.9 peratus.

“Pertumbuhan kami dipacu pertumbuhan pinjaman merentas segmen, penambahbaikan dalam marjin faedah bersih dan prestasi pasaran modal yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan separuh tahun itu di sini sebentar tadi.

CET1 adalah langkah berjaga-jaga yang diperkenalkan pada 2014 bagi melindungi ekonomi daripada krisis kewangan. Semua bank dikehendaki memenuhi keperluan minimum nisbah CET1 sebanyak 4.50 peratus menjelang 2019.

Kumpulan itu mengumumkan dividen interim bersih pertama 13 sen sesaham. Ia membabitkan pembayaran berjumlah kira-kira RM1.18 bilion, mewakili 51.6 peratus daripada keuntungan separuh pertama 2017 kumpulan itu.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya menjangkakan prestasi separuh kedua yang lebih baik tahun ini disandarkan kepada jangkaan operasi di Thailand dan Indonesia yang lebih baik mengambil kira peruntukan yang lebih rendah dan pertumbuhan pinjaman lebih tinggi, dengan Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata CIMB Group akan lebih agresif dalam mengembangkan penawaran kepada segmen industri kecil dan sederhana (IKS) mulai tahun ini, dan orang awam boleh menjangkakan lebuh banyak produk IKS baharu diperkenalkan.

Menyentuh pendedahan CIMB Group dalam industri minyak dan gas, beliau berkata ia secara relatifnya adalah kecil, iaitu sekitar 2.5 peratus bagi keseluruhan kumpulan, dan sebahagian besar daripadanya, iaitu sekitar 85 peratus, adalah pendedahan di Malaysia.

“Kami tidak menjangka ia akan memberikan sebarang impak material,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *