Dua kekalahan berturut-turut pada pusingan awal memberi banyak pengajaran kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk bangkit semula di Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Malawati, di sini.

Chong Wei berkata beliau sedar setiap perlawanan yang dilalui sama ada di peringkat awal atau berdepan lawan bukan pilihan, perlu diberi perhatian serius serta tidak boleh diambil mudah.

Sebelum ini, Chong Wei kalah pada pusingan awal di Seluruh England kepada pemain India, B Sai Praneeth sebelum terkandas di pusingan kedua Terbuka India, di tangan Wei Nan dari Hong Kong.

“Mungkin salah saya yang meletakkan kemahuan yang tinggi kepada diri sendiri. Walaupun lawan saya adalah pemain muda, kecergasan dan mental saya kena kuat untuk menghadapi mereka,” katanya.

Pemain nombor tiga dunia itu berkata fokusnya kini mengekalkan kedudukan dalam kelompok empat teratas dalam ranking dunia bagi mendapat undian yang memihak kepadanya ke arah matlamat mencapai pingat emas pertama Sukan Olimpik.

“Ikutkan ranking saya kini sudah layak ke Sukan Olimpik, cuma status pilihan yang penting sekarang ini. Penting bagi saya untuk sentiasa dalam keadaan kompetitif. Semua pemain sedang bertungkus lumus mengumpul mata ranking masing-masing,” katanya.

Pada perlawanan pertama Terbuka Malaysia hari ini, Chong Wei menepati ramalan selepas mudah mengatasi pemain muda Jepun, Takuma Ueda dengan 21-11, 21-8.

Menanti beliau di pusingan kedua adalah Son Wan Ho dari Korea Selatan yang mengalahkan pemain negara, Goh Soon Huat 21-16, 5-21, 21-13.

“Kali terakhir saya berjumpa Son Wan Ho adalah di Piala Sudirman tahun lepas. Bagi saya, prestasi beliau bagus…di Terbuka India beliau mengalahkan Lin Dan (China) di suku akhir),” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *