Pergerakan Wanita Umno akan mengetengahkan lebih ramai calon wanita yang berpotensi dan berkelayakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan datang.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abu Jalil berkata jumlah tersebut lebih ramai berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 yang diadakan pada Mei 2013.

“Sudah tentu, lebih ramai (calon) berbanding pilihan raya umum yang lalu. Kami ada calon yang cuba untuk membawa perubahan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian seminar Women Power Talk anjuran Biro Profesional Wanita Umno di sini, Isnin.

Jelas Shahrizat, beliau sudah ada senarai lengkap calon wanita Umno dan hanya menunggu isyarat daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno untuk dikemukakan.

“Saya telah kenal pasti dan ya, kami sudah ada senarai. Saya akan serah kepada perdana menteri sebaik sahaja diarahkan untuk berbuat demikian,” katanya.

Shahrizat berkata ada di kalangan calon dalam senarai itu yang merasakan diri mereka masih belum bersedia untuk bertanding.

Namun katanya, beliau percaya masih ada ruang untuk Wanita Umno memperkasakan calon berpotensi itu.

“Saya fikir mereka perlu mendapat sokongan motivasi kerana semua ada potensi. Sekarang kita perlu beri mereka ruang dan memperkasakan mereka,” katanya.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Azizah Mohd Dun.

Sementara itu, Johari yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno turut tidak menolak lebih ramai wanita dari parti itu yang berkelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen.

Namun katanya, ia bergantung kepada kawasan mana calon itu akan bertanding dan beliau yakin Wanita Umno mengambil maklum mengenai perkara ini dari pelbagai aspek.

“Calon wanita tetap ada cuma yang jadi persoalan adalah jumlah calon itu. Tetapi akhirnya dalam mana-mana parti politik bukan sahaja meletakkan calon wanita tetapi calon lelaki yang boleh menang sesuatu kerusi dan lebih penting diterima rakyat,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *